By: Rashid Ating
KUALA LUMPUR: Cabaran Sekolah LEGOLAND telah dicetuskan sejak tahun 2022 lagi. Pertandingan ini merupakan medan bagi para pelajar dan guru bekerjasama dalam mempamerkan kemahiran membina LEGO® mereka. Selain itu, ia juga merupakan satu platform untuk pelajar-pelajar memperoleh mata aktiviti ko-kurikulum yang diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Tema pertandingan pada tahun 2022 bertemakan “Kebanggaan Negeri Anda” manakala pada tahun lepas bertemakan “Bandar Masa Depan” telah memperlihatkan pelbagai ciptaan-ciptaan Lego yang menakjubkan.
Manakala pada tahun ini, tema pertandingan ialah “Dunia Fantasi”.
Pada tahun 2023 yang lepas, sejumlah 370 kumpulan sekolah dari seluruh rantau ASEAN, telah menyertai cabaran ini. Ia merupakan satu pencapaian yang mengejutkan selain menunjukkan peningkatan penyertaan 80% daripada tahun sebelumnya.
Pada tahun 2022, tahun pertama cabaran ini diperkenalkan, ia berjaya menerima 200 penyertaan dan 12 struktur LEGO yang menarik telah dipilih.
“LEGO merupakan bahasa kreativiti yang universal. Dengan memperluaskan Cabaran Sekolah LEGOLAND, kami berhasrat untuk membina jambatan antara pembina muda yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, memupuk kerjasama dan meraikan kepelbagaian budaya yang berbeza,” kata CS Lim, Pengarah Bahagian, LEGOLAND Malaysia Resort.
Cabaran Sekolah Legoland ini merupakan acara tahunan yang disokong oleh Pelaburan Iskandar Berhad (IIB).
LEGOLAND Malaysia Resort telah menjalin kerjasama strategik di seluruh negara dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk meningkatkan capaian pelajar kepada kelebihan-kelebihan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dalam Cabaran Sekolah LEGOLAND.
Inisiatif ini melibatkan pengedaran set LEGO, yang mengandungi 2,500 keping LEGO setiap satu, kepada 50 sekolah di seluruh negara. Dengan set LEGO ini, para pelajar dan guru akan dilengkapi dengan alatan untuk turut serta dalam Cabaran Sekolah LEGOLAND.
Disamping itu, mereka akan dapat meneroka kreativiti, kemahiran menyelesaikan masalah dan mengasah kemahiran pemikiran kritis mereka, yang merupakan tunjang dalam pendidikan STEM.
Terdapat dua kategori umur yang dipertandingkan dalam cabaran ini iaitu; Kategori 1 bagi mereka yang berumur dalam lingkungan tujuh sehingga 12 tahun dan kategori 2, bagi mereka yang berumur dalam 13 sehingga 17 tahun.
Manakala bagi kriteria penyertaan kumpulan adalah seperti yang berikut:
• Setiap kumpulan perlu mempunyai minimum empat orang ahli dan maksimum lapan orang ahli
• Setiap kumpulan boleh mempunyai maksimum dua orang guru. Sebarang komunikasi rasmi berkenaan dengan Cabaran Sekolah LEGOLAND® akan melalui guru yang bertanggungjawab
• Semua pelajar dalam kumpulan mestilah dari sekolah yang sama.
• Tiada had bilangan penyertaan kumpulan bagi setiap sekolah.
Syarat-syarat penyertaan, semua kumpulan perlulah mematuhi syarat-syarat berikut:
• Para peserta akan diberikan tema “Dunia Fantasi”
• Hanya LEGO yang asli dibenarkan untuk pertandingan
• Model hendaklah dipasang pada tapak dasar LEGO berukuran seperti di bawah dan ketinggian maksimum model ialah 75 cm:
Minimum 4 keping 32 x 32 kepingan, atau (50 cm) x (50 cm)
Maksimum 6 keping kepingan 32 x 32, atau (75 cm) x (50 cm)
• Hanya penyertaan daripada kumpulan peserta yang berdaftar akan diterima untuk proses penghakiman.
Kumpulan yang berdaftar akan diminta untuk menghantar ciptaan LEGO mereka pada 21 Jun 2024. Penyertaan juga boleh dihantar pada 4 Jun 2024, 10 pagi waktu Malaysia, dan tarikh akhir penghantaran ialah pada 21 Jun 2024, 6 petang waktu Malaysia. Penyertaan hendaklah termasuk:
1. Penerangan mengenai model ciptaan LEGO dalam 50 sehingga 100 patah perkataan dalam bahasa Inggeris sahaja
2. Lima gambar model ciptaan LEGO yang memperlihatkan binaan dari pelbagai sudut (depan, belakang, kiri, kanan, dan atas)
3. Rakaman video yang menunjukkan model akhir, minimum 30 saat dan maksimum 40 saat
4. Rakaman video dan gambar hendaklah dimuat naik ke dalam laman sesawang (pautan URL akan diberikan kemudian). Peserta diminta untuk memastikan video dalam format MP4 dan tidak melebih saiz 1GB
5. Hanya penyertaan dari kumpulan-kumpulan yang berdaftar akan diterima untuk pengadilan dalam peringkat ini
Mereka yang berminat boleh melayari laman sesawang https://legolandschoolchallenge.submit.com/show/3 untuk membuat akaun (bagi penyertaan baharu) dan menghantar penyertaan mereka.
Tarikh tutup penyertaan ialah pada 24 Mei 2024 (Jumaat), pada pukul 11.55 malam.
Pemenang bagi pertandingan Cabaran Sekolah Legoland ini akan menerima hadiah bernilai RM100,000. Hadiah-hadiah ini termasuk lawatan pendidikan ke LEGOLAND Malaysia Resort (turut serta dalam STEM/program pendidikan Bahasa Inggeris dalam bentuk model bahasa untuk realiti campuran (LLMR), trofi ikonik yang dibina secara teliti daripada LEGO, set Lego (satu bagi setiap kumpulan), jemputan untuk menghadiri upacara penyampaian hadiah di Legoland, tiket jemputan kepada semua pemenang untuk menghadiri upacara penyampaian hadiah oleh LEGOLAND® Malaysia Resort, sijil penyertaan kepada semua peserta dan akhir sekali, kesemua pemenang juga akan mendapat keistimewaan untuk menghadiri bengkel eksklusif bersama LEGO Master Model Builders, di mana mereka boleh memperhalusi lagi kemahiran mereka dan mendalami minat mereka untuk mencipta melalui LEGO.
































