Anwar Ibrahim
PETALING JAYA: Kerajaan akan terus pantau kadar inflasi dan impaknya kepada negara susulan pengumuman kenaikan gaji penjawat awam.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menjangka berlaku sedikit peningkatan inflasi dengan pengumuman tersebut, sebaliknya kerajaan terus memantau dan mengawal perkara tersebut.
“Soal kesan inflasi, saya jangka ada. Sebab itu kita harus teliti daripada peringkat pelaksanaan dan pengawalnya.
“Sebab itu kenaikan ini berperingkat bermula Disember dan tahun berikutnya. Kalau naik pun dalam keadaan terkawal.
“Kita jangka kenaikan sedikit, tapi boleh diterima. Tetapi kenaikan yang agak tinggi akan membebankan rakyat,” katanya dalam Program Soal Jawab Perdana Menteri kelmarin.
Perdana Menteri ditanya sama ada pengumuman kenaikan gaji penjawat awam bakal menyebabkan kenaikan inflasi.
Anwar mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam sebanyak lebih 13 peratus mulai 1 Disember tahun ini ketika sambutan Hari Pekerja di Putrajaya.
Ketika mengumumkan perkara itu pada hari sambutan Hari Pekerja di sini, Perdana Menteri berkata, ia antara keputusan kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) iaitu satu kenaikan tertinggi dalam sejarah.
Perdana Menteri memaklumkan sebelum ini jumlah paling tinggi kenaikan gaji penjawat awam adalah pada kadar 13 peratus, namun Kerajaan Madani akan memastikan kadar kenaikan kali ini lebih tinggi daripada itu.




























