Azam Baki
PUTRAJAYA: Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas selesai diambil keterangan hampir lapan jam sejak pagi kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
“Betullah seperti itu (dibebaskan dengan jaminan),” katanya.
Katanya, kenyataan lanjut berhubung perkara itu akan dikeluarkan Bahagian Komunikasi Korporat SPRM kemudian.
Bagaimanapun, setakat pukul 6.10 petang kelmarin, kelibat Mohd Shukri belum kelihatan dan tidak diketahui bila beliau akan keluar dari Ibu Pejabat SPRM.
Terdahulu, Mohd Shukri tiba kira-kira 9.50 pagi di Ibu Pejabat SPRM untuk dirakam kenyataan berhubung dakwaan salah guna kuasa.
Sebuah portal berita melaporkan, Menteri Besar itu dibebaskan dengan jaminan selepas SPRM berpuas hati dengan kerjasama yang diberikannya pada sesi kelmarin.
Difahamkan, Mohd. Shukri dipanggil ke ibu pejabat SPRM bagi membantu siasatan berhubung beberapa dakwaan membabitkan beliau dan anaknya, yang ditahan dan direman bersama beberapa yang lain minggu lepas.
Minggu lalu, SPRM menahan anak Mohd Shukri dan lima yang lain bagi membantu siasatan berkaitan penyerahan dokumen dan tuntutan palsu membabitkan RM600,000 sejak dua tahun lalu.
Kes berkaitan pemalsuan dokumen untuk membuat tuntutan palsu sedang disiasat selepas projek membabitkan kerja-kerja penyelenggaraan, pembaikan, pembekalan dan perkhidmatan dari 2022 hingga kini tidak dijalankan.


































