Azam Baki
PETALING JAYA : Rampasan empat buah kereta mewah Bugatti Veyron edisi khas di Munich, Jerman dipercayai merupakan sebahagian 50 kereta mewah yang disiasat dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2021.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, rampasan itu sebahagian siasatan dilakukan sejak tahun 2020.
Kata beliau, permohonan Bantuan Perundangan Bersama (MLA) ke Switzerland untuk mendapat maklumat tentang aset beku berkaitan kes 1MDB.
Perkara itu telah dilaksanakan pada bulan November 2020.
“Ini diikuti dengan mesyuarat dengan Pejabat Peguam Negara Switzerland (OAG) berkaitan 50 kereta mewah yang terlibat dalam siasatan 1MDB pada tahun 2021.
“Selanjutnya, satu mesyuarat dengan OAG telah diadakan di Switzerland untuk membincangkan kemajuan permohonan MLA dan mendapatkan maklumat lanjut pada Mac 2022,” katanya di sini.
Kata beliau, sehubungan itu, SPRM juga telah meminta maklumat daripada pihak berkuasa Jerman mengenai dana bon 1MDB yang digunakan untuk membeli kereta mewah di Jerman pada 26 Oktober 2022.
“Dalam perkembangan terbaharu ini, SPRM telah menghantar permohonan untuk maklumat terkini daripada pihak Jerman,” jelasnya.
Terdahulu, polis Jerman dipercayai merampas empat buah kereta mewah Bugatti Veyron edisi khas di Munich yang dikaitkan sebagai sebahagian daripada siasatan skandal kewangan 1MDB.
Akhbar Jerman Bild melaporkan, empat kereta super yang dikaitkan dengan skandal 1MDB dirampas daripada kemudahan simpanan persendirian.
Kenderaan berkenaan dikatakan sebahagian daripada siri”Legenda” khas Bugatti Veyron, dengan hanya 18 daripada supercar tersebut dibina dalam enam spesifikasi.
Empat kenderaan itu ialah Rembrandt edisi Veyron, Black Bess, Jean-Pierre Wimille dan Meo Constantini. Setiap kereta mempunyai harga sekitar AS$3 juta (RM14.3 juta).
Kereta itu jarang dijual, dan biasanya tidak dijual di lelongan awam. Kereta berkenaan dikesan dan dirampas oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah 7, yang pakar dalam jenayah kolar putih,” menurut media Jerman, Bild.
Ia menyatakan, kereta itu diletakkan di tempat letak kereta Motorworld Munich, ketika suatu pertunjukan automotif.


































