KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menggesa kepada orang ramai untuk menjalankan tanggungjawab mereka dan menyelesaikan sebarang tunggakan bayaran dalam kadar segera, ini termasuklah bayaran bagi cukai kadaran atau kompaun.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah berkata, usaha bagi mengenal pasti individu dan syarikat yang masih mempunyai tunggakan cukai dan kompaun akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa.
“Pihak DBKK tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas individu dan syarikat yang ingkar atau gagal untuk menjelaskan tunggakan bayaran mereka.
“Melihat kepada sikap sambil lewa segelintir masyarakat yang masih belum menjelaskan tunggakan bayaran walaupun dengan pelaksanaan kempen-kempen pengampunan yang lalu, amalan pengurangan atau diskaun tidak akan diberikan lagi oleh DBKK,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang awam sekali lagi untuk menyelesaikan tunggakan bayaran cukai atau kompaun mereka dalam masa terdekat ini selain mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Semakan tunggakan dan pembayaran boleh dilakukan menerusi pautan eservices.dbkk.sabah.gov.my/.
































