JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ditemukan maut dipercayai terjatuh dari tingkat 12 sebuah kondominium di bandar raya ini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima maklumat tentang kejadian itu kira-kira 6.30 petang, kelmarin.
“Kanak-kanak itu dipercayai ditinggalkan bersendirian oleh ibunya di rumah ketika mangsa sedang tidur. Ibu mangsa yang merupakan suri rumah telah keluar untuk mengambil anak sulungnya berusia 11 tahun selepas tamat sekolah dengan membawa anak bongsunya yang berusia empat bulan.
“Sebaik sahaja wanita berusia 32 tahun itu tiba di rumah, dia dapati mangsa tiada di dalam rumah. Setelah puas mencari, dia menjumpai mangsa di aras enam kondominium itu dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Raub berkata, mangsa dipercayai telah membuka pintu koridor rumah yang tidak berkunci dan memanjat dinding koridor hingga terjatuh.
Pegawai perubatan dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) mengesahkan kanak-kanak malang tersebut telah meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian badan dan kepala.
Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta kanak-kanak tahun 2001 kerana cuai dan pengabaian terhadap kanak-kanak.
Ibu mangsa telah ditahan bagi diambil keterangan , namun dibebaskan dengan jaminan polis.

































