Tangkap layar video seorang wanita yang memukul lelaki warga emas di sebuah rumah orang tua di Kulim.
KULIM: Polis menahan dua individu termasuk pemilik sebuah rumah kebajikan orang tua di sini berikutan aduan seorang lelaki warga emas di situ dipukul.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi berkata, lelaki berusia 44 tahun itu ditahan bersama wanita berusia 36 tahun yang merupakan pembantu rumah kebajikan tersebut pada pukul 11.30 malam semalam.
Katanya, penahanan dilakukan berikutan aduan daripada seorang wanita pada pukul 3.50 petang semalam mengenai seorang lelaki warga emas yang dipukul menggunakan kayu.
“Terdapat empat rakaman video memaparkan seorang warga emas dipukul yang tular di media sosial,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati punca kejadian adalah disebabkan mangsa berusia 70 tahun yang didakwa sering mendatangkan masalah kerana nyanyuk.
“Polis masih menyiasat jika terdapat mangsa-mangsa lain yang turut dipukul di rumah kebajikan berkenaan,” jelasnya.
Tambahnya, kedua-dua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini dengan kes disiasat mengikut 324 Kanun keseksaan.

































