Robert Tawik bersalaman dengan Ketua Menteri, YAB Datuk Seri Panglima Hj. Hajiji Hj. Noor semasa di Dewan Undangan Negeri
KOTA KINABALU: Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik berkata, Kerajaan akan mengambil tindakan jangka masa pendek dan panjang bagi mengatasi kesesakan serius pada waktu puncak di jalan yang terdapat dua buah sekolah di Keningau.
Beliau berkata, jalan yang dimaksudkan itu ialah Jalan Dangulad dan Jalan Secondary School yang terdapat Sekolah Menengah Kebangsaan Gunsanad dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yuk Yin.
“Jalan Dangulad dan Jalan Secondary School yang dimaksudkan adalah Jalan Negeri di bawah penyenggaraan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah melalui syarikat konsesi Globinaco.
“Kedua-dua jalan tersebut bertemu di satu persimpangan-T berdekatan dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Gunsanad dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yuk Yin,” katanya.
Robert berkata, perancangan jangka masa pendek bagi membantu mengurangkan kesesakan jalan ketika waktu puncak di sepanjang Jalan Dangulad ke SJKC Yuk Yin adalah melaksanakan kerja-kerja menabur batu kelikir di bahu jalan kiri dan kanan.
Selain itu, katanya, cadangan penyelesaian yang lebih efektif adalah dengan melebarkan jalan sedia ada melalui kerja menaiktaraf bahu jalan kepada permukaan konkrit di bawah program penyenggaraan kerja berkala.
Walau bagaimanapun, tambahnya, cadangan kerja menaiktaraf bahu jalan tersebut tidak dapat dilaksanakan pada tahun ini disebabkan kekangan peruntukan.
Robert yang juga ADUN Bingkor menjawab pertanyaan Datuk Annuar Ayub pad persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Annuar bertanya apakah tindakan Kerajaan untuk mengatasi kesesakan yang serius pada waktu puncak di jalan yang terdapat dua buah sekolah iaitu Jalan Dangulad dan Jalan Secondary School yang terdapat Sekolah Menengah Kebangsaan Gunsanad dan sekolah jenis Kebangsaan Cina Yuk Yin.
Robert berkata, JKR Sabah akan sentiasa memastikan penyenggaraan rutin di jalan tersebut dilaksanakan mengikut Piawaian Prestasi yang dipersetujui di dalam perjanjian konsesi.
“Terdapat satu projek yang telahpun diluluskan dalam Rolling Plan 4 (RP4), Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) di bawah Program Jalan Luar Bandar (JALB) biayaan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah(KKDW).
“Projek yang dimaksudkan adalah Projek Naiktaraf Jalan Keningau Relief Road, Keningau, Sabah sepanjang 6.0km yang kini masih dalam fasa rekabentuk terperinci muktamad dan dijangka akan ditender pada September 2024,” katanya.
Sebagai penyelesaian jangka panjang, Robert berkata, satu kajian sedang system dilaksanakan untuk mengkaji dan menambahbaik perhubungan dan rangkaian jalanraya serta sekaligus mengurangkan masalah kesesakan lalulintas yang semakin kritikal di Pekan Keningau.
“Kajian ini adalah di bawah kajian Proposed Priority Roads Projects in Keningau yang telahpun dimulakan dari November 2022 dan dijangka akan siap sepenuhnya pada Oktober 2024 di bawah pembiayaan Kerajaan Negeri,” jelas beliau.


































