Dr. Mohd. Arifin (kanan) bersembang bersama Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (kiri). Turut kelihatan Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam (tengah).
KOTA KINABALU: Seramai 12,514 orang pelajar tingkatan enam dari Sabah telah menerima PerantiSiswa ini sejak tahun 2022, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif.
“Inisiatif PerantiSiswa di bawah Belanjawan 2022 diterajui oleh Kementerian Komunikasi Dan Digital (KKD) dengan kerjasama daripada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
“Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) tidak terlibat secara langsung menguruskan pemberian atau peruntukan peranti siswa.
“Dalam Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), golongan penerima PerantiSiswa adalah dalam kalangan murid tingkatan enam yang layak,” kata beliau.
Dr Mohd. Arifin berkata, pemberian PerantiSiswa dalam kalangan murid tingkatan enam sejak ia dimulakan semua dilaksanakan pada tahun 2022, manakala tiada pemberian baharu untuk tahun 2023 dan setakat Mac 2024.
“Setakat ini belum dapat dipastikan bilakah pemberian semula PerantiSiswa ini dalam kalangan murid tingkatan enam khususnya di Sabah,” katanya.
Beliau yang juga ADUN Membakut menjawab pertanyaan Datuk Dr. Jaujan Sambakong pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Jaujan bertanya sejauh manakah perlaksanaan program pemberian Peranti Siswa dan apakah syarat kelayakan pelajar bagi mendapatkan peranti tersebut.
Dr. Mohd. Arifin berkata, Kerajaan Negeri melalui Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) juga telah melaksanakan Inisiatif Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) kepada seramai 560 orang pelajar IPT pada tahun 2022 dan seramai 740 orang pelajar IPT pada tahun 2023.
Katanya, bantuan ini bertujuan untuk membantu pembelajaran pelajar yang memerlukan.
“Antara syarat-syarat kelayakan pelajar bagi pemberian BAIK ini ialah; Pelajar IPT mestilah berstatus bumiputera yang berasal dari Sabah dan memerlukan komputer riba untuk tujuan pembelajaran; Satu komputer riba adalah untuk satu Ketua Isi Rumah (KIR) sahaja; Ibu dan bapa atau penjaga pelajar adalah dari golongan E kasih; dan Pemohon perlulah memberikan justifikasi keperluan komputer riba,” jelas beliau.


































