PETALING JAYA: Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) dijangka mengumumkan perincian Akaun 3 yang bakal menawarkan kelonggaran kepada pencarum dalam menguruskan simpanan mereka, hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, difahamkan, ahli KWSP akan diberi tempoh untuk membuat keputusan mengenai pengeluaran caruman dari akaun sedia ada ke akaun baharu kelak.
Selepas dilaksanakan nanti, semua pencarum akan memiliki tiga akaun berbeza berbanding hanya dua akaun caruman ketika ini.
Antara tiga akaun tersebut, Akaun 1 akan dikenali sebagai Akaun Persaraan untuk simpanan persaraan, manakala Akaun 2 atau Akaun Sejahtera akan menampung pengeluaran untuk perbelanjaan pendidikan, kesihatan dan perumahan.
Akaun 3 yang dinamakan Akaun Fleksibel pula berfungsi sebagai simpanan untuk kecemasan.
Pada masa ini, 70 peratus caruman bulanan ahli KWSP disalurkan ke dalam Akaun 1, yang tidak boleh diakses sehingga selepas bersara manakala 30 peratus lagi masuk ke Akaun 2, yang boleh diakses untuk membayar pendidikan, penjagaan kesihatan dan perumahan, serta pengeluaran separuh pada usia 50 tahun.
Bagaimanapun mulai Mei, sistem yang disusun semula akan menyaksikan caruman bulanan dibahagikan kepada tiga cara iaitu 75 peratus ke dalam Akaun 1, 15 peratus ke dalam Akaun 2 dan 10 peratus ke dalam Akaun 3.


































