Hajiji menyampaikan cenderamata kepada Fellows.
KOTA KINABALU: Australia berminat untuk mengukuhkan lagi hubungan kukuh sedia ada dengan Sabah, selain melihat peluang perdagangan baharu.
Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Simon Fellows berkata, Sabah dan Australia mempunyai hubungan yang sangat panjang dan kukuh.
“Kerajaan Australia sangat menumpukan kepada bagaimana untuk mengukuhkan perniagaan di Asia Tenggara, Malaysia dan sudah tentu Sabah,” kata Fellows ketika bertemu Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
“Sabah mempunyai tarikan pelancongan bertaraf dunia,” tambah Fellows yang berada di Sabah untuk menghadiri Hari Anzac tahunan di Sandakan pada Khamis.
Ketua Menteri berkata, Sabah mengamalkan dasar pintu terbuka untuk pelabur datang ke negeri itu.
“Australia dialu-alukan untuk melihat peluang perniagaan di Sabah, dalam bidang pembangunan tumpuan kami dan terutamanya untuk meneroka potensi Ekonomi Biru negeri,” katanya.
Fellows diiringi oleh Penolong Penasihat Pertahanan Suruhanjaya Tinggi, Michael Edward, Setiausaha Pertama, Michelle Hugh dan Datuk Andrew Sim, Konsul Kehormat Australia di Sabah.


































