Joniston Bangkuai
KOTA KINABALU: Individu yang merosakkan alam sekitar dengan aktiviti pembakaran terbuka boleh didenda sehingga RM500,000 atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai berkata, tindakan tersebut akan dikenakan jika pesalah alam sekitar disabitkan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Spesifik kepada mereka yang melakukan pembakaran terbuka bagi tujuan pertanian dalam kawasan tanah sendiri atau tanah orang lain pula, sekiranya melakukan kesalahan maka mereka boleh dikenakan kompaun sehingga RM2,000 untuk setiap kesalahan.
“Kementerian saya bersama dengan kementerian dan jabatan berkaitan akan terus berusaha lebih gigih dalam mengawal isu pemanasan global dan perubahan iklim, berpandukan kepada strategi dan pelan tindakan digariskan di bawah Dasar Perlindungan Alam Sekitar Sabah 2017,” tegas beliau.
Beliau menjawab pertanyaan ADUN Kukusan, Rina Jainal pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Rina bertanya apakah tindakan Kerajaan untuk mengurangkan pembakaran haram secara terbuka yang kian banyak dilaporkan di Sabah dan apakah tindakan yang telah dan akan diambil pada mereka yang membakar kawasan tanah mereka dan tanah orang lain bagi tujuan pertanian yang menyumbang kesan kepada pembakaran terbuka, serta perancangan Kementerian bagi menghadapi cabaran jangka panjang dalam mengurangkan amalan pembakaran haram secara terbuka, termasuk peningkatan dalam pembakaran hutan yang meluas di sekitar Sabah dan mengakibatkan kesan pemanasan global dan perubahan iklim.
Joniston berkata, kejadian pembakaran terbuka meningkat disebabkan oleh cuaca kering yang sedang melanda di negeri ini.
“Jabatan Meterologi Malaysia (MET Malaysia) turut mengeluarkan status cuaca panas bagi negeri Sabah mencatat suhu maksimum harian kurang daripada 35 darjah celcius.
“Kejadian pembakaran terbuka dan pembakaran hutan secara tidak langsung juga akan menyumbangkan kepada kesan pemanasan global dan perubahan iklim.
“Di Sabah, terdapat beberapa jabatan dan agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan yang mempunyai bidang kuasa berkaitan isu tersebut, terutamanya Jabatan Alam Sekitar (JAS) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, dan Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS) di bawah Kementerian saya,” katanya.
Beliau menambah, JAS menguatkuasakan undang-undang berkaitan dengan pembakaran terbuka dengan menggariskan pelbagai strategi untuk menangani kejadian yang tidak diingini akibat pembakaran terbuka, seperti mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Prosedur Tetap Operasi (SOP) sejak 16 Februari 2024.
Di samping itu, katanya, JAS juga melaksanakan program pencegahan kebakaran di tanah gambut dengan melaksanakan rondaan secara intensif.
“JPAS pula mengawal pembakaran terbuka dengan memastikan pemaju projek pembangunan dengan kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) mematuhi syarat larangan pembakaran terbuka.
“JPAS juga melaksanakan program Environmental Self-regulation (ESR) di daerah Tawau, Keningau dan Sandakan untuk mempertingkatkan pematuhan Syarat-syarat Alam Sekitar yang ditetapkan terutamanya larangan pembakaran terbuka,” kata beliau.
Menurut beliau lagi, bagi menangani isu ini dalam jangka masa panjang pula, JPAS turut mengadakan pelbagai program kesedaran kepentingan penjagaan alam sekitar kepada pelbagai kumpulan sasar seperti orang awam dan pemaju projek pembangunan, membuat ceramah dan pameran, menyedia e-poster serta menghasilkan permainan digital berkaitan dengan perubahan iklim.
“Sebagai contoh, JPAS bersama dengan United Nations Children’s Fund (UNICEF) mengendalikan projek dikenali sebagai “Air Quality Monitoring in Schools” dan telah dilaksanakan di lima buah sekolah di Daerah Kota Kinabalu, Penampang dan Tuaran untuk memantau kualiti udara di sekitar sekolah dan meningkatkan kesedaran pelajar dan komuniti sekolah.
“Pelbagai usaha turut dikendalikan oleh jabatan lain seperti Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan pihak berkuasa tempatan untuk mengawal kejadian pembakaran terbuka dengan mengeluarkan amaran atau arahan, dan mengesa orang ramai agar tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka untuk mengelakkan kejadian kebakaran yang sukar untuk dikawal.
“JAS Sabah juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif seperti memantau kualiti udara di kawasan titik panas secara berterusan melalui rondaan dan menggunakan dron,” katanya.
































