Hendrus (dua dari kanan) bersama Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam (dua dari kiri) dan Datuk Ir. Shahelmey Yahya (kanan), dan Menteri Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim (kiri) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) melalui Jabatan Perikanan telah dan sedang mengambil usaha jangka panjang dan jangka pendek bagi membantu meningkatkan kuantiti hasil tangkapan nelayan di kawasan perairan Teluk Marudu.
Pembantu Menteri MAFFI, Datuk Hendrus Anding berkata, Kementerian menyedari mengenai kemerosotan hasil tangkapan nelayan di kawasan perairan Teluk Marudu akibat keadaan cuaca yang tidak menentu.
“Antara strategi jangka pendek yang dilaksanakan ialah Pemberian Subsidi Minyak Diesel dan Petrol bagi membolehkan nelayan mendapat harga belian minyak subsidi, seterusnya menggalakkan nelayan menjalankan aktiviti perikanan di kawasan baharu yang mempunyai populasi ikan yang banyak.
“Jabatan Perikanan Sabah turut melaksanakan pengawalan dalam kaedah penangkapan ikan melalui pengeluaran lesen-lesen menangkap ikan dan pemantauan terhadap nelayan-nelayan yang beroperasi di kawasan tersebut,” katanya ketika menjawab pertanyaan Wetrom Bahanda (Bandau) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Wetrom bertanya apakah usaha jangka panjang dan jangka pendek yang sedang dilaksanakan di kawasan perairan Teluk Marudu bagi membantu meningkatkan kuantiti hasil tangkapan para nelayan yang semakin merosot.
Hendrus berkata, strategi jangka pendek yang turut dilaksanakan oleh Kementerian melalui KO-NELAYAN ialah menyediakan pembiayaan kewangan kredit mikro di bawah Program Peningkatan Pendapatan Nelayan iaitu Skim Bantuan Nelayan (i-NELAYAN) untuk membantu meningkatkan hasil tangkapan nelayan di Teluk Marudu.
Katanya, bermula dari tahun 2021 hingga kini, seramai 12 orang nelayan di kawasan Teluk Marudu dan 29 orang nelayan di kawasan Pitas serta Pulau Banggi telah menyertai program i-NELAYAN.
“Program pembiayaan kewangan ini telah berjaya meningkatkan pendapatan para nelayan terbabit sekurang-kurangnya sebanyak 30%,” tambahnya.
Bagi Strategi Jangka Panjang, Hendrus berkata, Kementerian melalui Jabatan Perikanan Sabah melaksanakan Program Pengembangan dan Perkhidmatan Perikanan Marin yang menyampaikan maklumat-maklumat terkini mengenai subsektor perikanan tangkap kepada nelayan-nelayan.
Program ini juga menawarkan pelbagai khidmat nasihat, kursus dan latihan in-situ kepada nelayan-nelayan melalui program bimbingan nelayan.
“Strategi jangka panjang seterusnya ialah pelaksanaan Program Transformasi Sosio-Ekonomi Nelayan dan Penternak Miskin/Termiskin, Program Peningkatan Pendapatan Nelayan Setempat dan Bantuan Nelayan Pesisir Pantai. Program-program ini menyasarkan Ketua Isi Rumah Termiskin (KIRT) yang berdaftar.
“Pakej yang ditawarkan ialah kursus dan satu set peralatan menangkap ikan seperti Kotak Ikan Berinsulasi, Bot Gentian Kaca, Enjin Sangkut dan Pukat.”
Selain itu, beliau berkata, Projek Pemuliharaan Sumber Perikanan Demersal dan Projek Pembangunan dan Pengurusan Sumber Perikanan Melalui Pembinaan Tukun di Sabah merupakan strategi jangka panjang untuk meningkatkan produktiviti biologi perairan persekitaran iaitu melalui pewujudan tukun-tukun tiruan. (Sejumlah 1,910 buah tukun tiruan telah dilabuhkan di 88 lokasi di seluruh negeri Sabah sejak tahun 2008. Dengan peningkatan produktiviti biologi di kawasan-kawasan tukun tiruan, diharapkan bahawa nelayan-nelayan akan dapat menikmati penambahan hasil tangkapan ikan).
“Strategi jangka panjang seterusnya ialah pelaksanaan Projek Peningkatan Sumber Perikanan Pelagik iaitu pemberian bantuan peralatan perikanan peranti pengumpul ikan ‘payao’ dan ‘unjam’ kepada nelayan-nelayan. Payao ini dipasang di perairan laut dalam yang berfungsi untuk menarik perhatian ikan pelagik berkumpul (ikan tuna, ikan rumahan, ikan basung, ikan tulai dan sebagainya).
“Payao berfungsi sebagai tempat perlindungan anak ikan dan mewujudkan ekosistem rangkaian makanan untuk memudahkan nelayan menangkap ikan. Unjam juga berfungsi seperti Payao namun ia dipasang di pesisir pantai. (Sepanjang RMKe-12, sebanyak 24 unit ‘payao’ dan 700 unit ‘unjam’ telah diberi kepada komuniti nelayan sebagai bantuan insentif peralatan perikanan),” jelasnya.
Hendrus berkata, di samping itu, kawasan larangan operasi menangkap ikan untuk kapal-kapal perikanan komersial (seperti tunda dan jerut pada jarak dua (2) batu nautika dari pantai tanah besar) telah dilaksanakan bagi mengawal penerokaan sumber perikanan.
“Rondaan berkala turut dijalankan bagi memantau dan mengawasi perairan terutama pencerobohan nelayan komersial tempatan. Tindakan punitif termasuklah mengenakan kompaun akan diambil terhadap nelayan yang menceroboh kawasan tersebut.”
Kementerian melalui KO-NELAYAN juga melaksanakan strategi jangka panjang iaitu mengadakan latihan dan penggunaan aplikasi Sabah Mobile Artisanal Remort Technology (e-SMART) kepada nelayan Teluk Marudu untuk menyebarluas aksesibiliti penangkapan ikan melalui teknologi satelit, katanya.
Menjawab soalan tambahan, Hendrus berkata, MAFFI melalui Jabatan Perikanan Sabah sentiasa bersedia membantu golongan sasar terutama para nelayan dalam meningkatkan pendapatan mereka.
Katanya, nelayan-nelayan boleh memohon bantuan-bantuan di Pejabat Perikanan Daerah. Antara program-program yang memfokuskan bantuan kepada para nelayan ialah:
1. Program Transformasi Sosio-Ekonomi Nelayan dan Penternak Miskin/Termiskin
2. Program Peningkatan Pendapatan Nelayan Setempat
3. Bantuan Nelayan Pesisir Pantai
“Program-program Jabatan Perikanan Sabah ini merupakan bantuan insentif kepada golongan nelayan dalam kategori Miskin dan Termiskin serta nelayan pesisir pantai. Bantuan keperluan peralatan perikanan yang diberikan ialah enjin sangkut, kotak ikan berinsulasi, pukat, peralatan perikanan (mengikut keperluan), Global Positioning System (GPS), bot gentian kaca, jaket keselamatan dan lampu penanda mengikut keperluan semasa.”
Beliau berkata, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) turut memberikan bantuan dalam meningkatkan pendapatan para nelayan di kawasan DUN Bandau. Antara bantuan yang diberikan ialah:
1. Bantuan subsidi minyak petrol pada harga RM1.65 se-liter akibat kenaikan kos operasi menangkap ikan.
2. Bantuan touch point iaitu peralatan menangkap ikan seperti enjin sangkut, pukat dan tong ikan.
3. Skim Pinjaman Dana Nelayan dengan jumlah pinjaman maksimum sebanyak RM25,000.00 untuk tujuan membeli bot, enjin dan pukat.
4. Meningkatkan kemudahan infrastruktur seperti pembinaan jeti pendaratan ikan.
5. Melabuhkan unjam-unjam untuk pembiakan ikan.
6. Bantuan elaun sara hidup sebanyak RM300.00 sebulan bagi meringankan beban akibat peningkatan kos sara hidup. Bantuan ini hanya diberikan kepada nelayan yang aktif menangkap ikan di laut.
































