Dzulkefly Ahmad pada Majlis pelancaran Laporan Tahunan Clinical Research Malaysia (CRM) 2023 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya.
PUTRAJAYA: Cadangan dan mekanisme penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan kini dalam peringkat penelitian akhir sebelum dibentangkan kepada Kabinet dalam masa terdekat.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, perkara itu perlu dirujuk kepada Kabinet terlebih dahulu sama ada menerusi nota Kabinet atau memorandum Jemaah Menteri.
“Saya harap dalam waktu terdekat kita akan dapat umum perkara ini,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Laporan Tahunan Clinical Research Malaysia (CRM) 2023 di sini, hari ini.
Katanya, cadangan penubuhan suruhanjaya itu telah diangkat sebagai satu pembaharuan dalam manifesto pilihan raya umum lalu.
Dr Dzulkefly berkata, cadangan itu pastinya akan direalisasikan kerana ia antara perkara yang disebut dalam manifesto.
“Bagaimanapun, butiran dan mekanisme penubuhannya tidak dapat didedahkan buat masa ini,” katanya.
Cadangan penubuhan suruhanjaya itu pernah dicetuskan Gerakan Hartal Doktor Kontrak (HDK) tahun lalu sebagai satu usaha menangani isu berkaitan skim perkhidmatan petugas kesihatan terutamanya doktor.
Malah, bekas Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa sebelum ini pernah memaklumkan, kerangka suruhanjaya itu akan dibangunkan termasuk struktur tadbir urus dan pembentukan pelbagai jawatankuasa dinamakan kumpulan kerja teknikal.
Cadangan penubuhan suruhanjaya itu penting kerana ia sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan (PH), malah dianggap platform terbaik memperkasa kebajikan dan jaminan kerjaya untuk staf kesihatan kontrak di Malaysia.
Penubuhan segera suruhanjaya itu juga penting bagi mengekang pengaliran keluar “insan kesihatan” terbaik negara justeru, sektor perkhidmatan kesihatan ini harus dipisahkan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Jabatan Perkhidmatan Awam.
































