Polis mengiringi guru lelaki yang dipercayai memukul seorang guru wanita di Mahkamah Majistret Kemaman, hari ini.
KEMAMAN: Seorang guru lelaki yang dipercayai memukul seorang guru wanita di kawasan kantin sebuah sekolah di daerah ini, direman selama tiga hari bermula hari ini hingga Rabu.
Menurut Utusan Malaysia, perintah reman itu dibenarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin selepas menerima permohonan daripada pihak polis, hari ini.
Perintah reman terhadap suspek berusia 49 tahun itu dibenarkan bagi membolehkan pihak polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506, kanun yang sama.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan berkata, suspek ditahan kira-kira pukul 9 malam di kuartersnya, bagi menyiasat punca pergaduhan antara suspek dan mangsa.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.55 pagi semalam, seorang guru wanita yang mengajar subjek Bahasa Inggeris berusia 32 tahun mendakwa ditumbuk dan disepak suspek.
Guru wanita itu mengalami lebam di mata kirinya, membuat laporan polis di Balai Polis Air Putih, dekat sini, kira-kira pukul 8.20 pagi semalam.


































