SEGAMAT: Seorang lelaki nekad membakar kereta dan motosikal bekas teman wanitanya selepas berang wanita berkenaan enggan meneruskan hubungan.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Polis Segamat, Deputi Superintendan Ng Swie Chait berkata, kejadian berlaku pada pukul 12.15 malam Ahad lalu ketika wanita berusia 38 tahun itu tidak berada di rumah.
“Wanita terbabit dihubungi anak perempuannya berusia 20 tahun memaklumkan terlihat api dan asap di kereta Perodua Myvi dan motosikal Suzuki Nex yang diletakkan di garaj rumahnya.
“Bimbang dengan keselamatan diri, mangsa tampil membuat laporan polis beberapa minit kemudian di Balai Polis Segamat untuk tindakan selanjutnya.
“Bertindak atas maklumat, anggota polis peronda (MPV) Daerah Segamat membuat tangkapan ke atas seorang lelaki berusia 28 di sekitar Bandar Utama tidak sampai sejam selepas laporan dibuat.
“Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek mempunyai rekod jenayah berkaitan khianat Seksyen 323 dan 427,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, hari ini.
Tambah Ng Swie Chait, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif bahan terlarang.
“Hasil pemeriksaan pada kereta Myvi mangsa mendapati bahagian kerusi belakang, pintu, tayar, bumper belakang kanan terbakar.
“Sementara itu, motosikal Suzuki Nex terbakar pada tempat duduk, ‘cover seat’, dan meter,” katanya.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian sebanyak RM15,000.
Perbuatan dilakukan disebabkan suspek mendakwa berdendam kerana dipercayai mangsa tidak mahu meneruskan hubungan.
Kes di siasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.


































