Lori ditinggalkan tanpa pemandu menggelongsor ke belakang lalu merempuh motosikal ditunggang mangsa dalam kejadian di Jalan Lencong Timur, Sungai Petani.
SUNGAI PETANI: Seorang lelaki maut apabila motosikalnya dirempuh sebuah lori yang dipercayai menggelongsor ke belakang dalam kejadian di Jalan Lencong Timur, di sini petang semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Ooi Oung Teik, 54, yang tidak bekerja disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.
Oung Teik yang menunggang motosikal jenis WMoto dari arah Taman Sejati Indah untuk pulang ke rumahnya di Bandar Puteri Jaya tidak sempat mengelak apabila lori jenis Daihatsu Delta yang ditinggalkan di tepi jalan tanpa pemandu itu telah menggelongsor.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Anuar Abdul Rahman berkata, rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa terjatuh ke atas jalan lalu meninggal dunia serta- merta manakala motosikalnya rosak teruk di bahagian hadapan.
“Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kemalangan terbabit berpunca daripada kecuaian pemandu lori yang meletakkan kenderaan tanpa pengawasan.
“Kita menahan pemandu lori itu yang berusia 46 tahun dan semakan mendapati dia mempunyai enam rekod lampau membabitkan kemalangan jalan raya. Lori itu turut disita untuk pemeriksaan lanjut bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
































