Ellron (duduk, tengah) diapit oleh Mansur (kanan) dan Mohamat (kiri) bergambar bersama atlet yang mewakili Malaysia ke kejohanan tersebut.
KOTA KINABALU: Seramai empat atlet olahraga Sabah akan mewakili Malaysia ke Kejohanan 21st Asian U20 Athletics Championship 2024 di Dubai, bulan ini.
Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin dimaklumkan oleh Presiden Olahraga Sabah, Mohamat Hassan yang melakukan kunjungan hormat ke pejabatnya di Kementerian Belia dan Sukan Sabah, di sini.
Empat atlet olahraga Sabah itu ialah Dexter Beddie (100M/4x100M), Hanssen Yap Soon Fu (100M/4x100M), Pengiran Aidil Auf Hajam (200M/4×100) dan Muhammad Khalil Helmi (400M).
Mereka bakal beraksi di kejohanan tersebut bersama-sama 12 lagi atlet muda yang layak daripada seluruh negara.
Ellron berkata, bagi memudahkan urusan perjalanan atlet tersebut ke kejohanan itu, Kementerian akan memberikan bantuan kewangan menerusi geran tahunan yang telah diperuntukkan kepada persatuan.
Kementerian berharap agar keempat-empat atlet ini akan melakar kejayaan yang membanggakan Sabah.
Ketika ditanya media mengenai perasaan dan persiapan menghadapi kejohanan bertaraf antarabangsa itu, Hanssen yang merupakan Juara 100 Meter Sabah Games 2023 berkata, beliau akan membuat yang terbaik apabila beraksi nanti.
Manakala rakannya dalam kuartet 4×100 Dexter berkata, pemilihannya dalam senarai pendek atlet yang mewakili negara ke kejohanan itu amatlah menggembirakan beliau.
“Saya amat gembira, sebab dari dulu lagi saya ada matlamat mahu beraksi kejohanan di luar negara, dan berharap agar membawa balik pingat,” katanya.
Khalil pula berkata, beliau sudah menunggu untuk menyertai kejohanan ini dan berharap akan membuat membuat rekod peribadi terbaik dalam kejohanan itu nanti.
Ketiga-tiga mereka sudah bersedia menghadapi kejohanan ini dan telah melakukan persiapan yang rapi dengan persediaan mental dan fizikal yang mencukupi serta disiplin yang tinggi dan konsisten.
Kejohanan tersebut akan bermula pada 24 sehingga 27 April ini. Mereka dijangkakan akan bertolak ke Kuala Lumpur pada 21 April untuk menyertai kontinjen negara untuk berlepas ke Dubai nanti.
Hadir sama dalam kunjungan hormat itu Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Datuk Mansur Asun, Pengarah Majlis Sukan Negeri Sabah, Mohd Asneh Mohd Noor serta ibubapa atlet.


































