Ustazah Farah Cie masih trauma dengan kejadian yang berlaku.
PETALING JAYA: Isteri suspek yang masih diburu polis akhirnya ‘bersuara’ susulan insiden tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, awal pagi semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Farah Md. Isa atau lebih dikenali sebagai Ustazah Farah Cie menerusi hantaran di laman Facebook berkata, beliau masih trauma dengan kejadian yang berlaku di depan matanya.
“Mohon maaf, mesej bertalu tidak berbalas…Masih trauma kejadian di depan mata. Sekarang pengawal peribadi Farah masih tidak sedarkan diri.
“Sama-sama kita doakan kesembuhan Along sihat sedia kala. Amin,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada awal pagi Isnin.
Pengawal peribadi, Mohd Nur Hadith Zaini atau lebih dikenali sebagai Along masih belum sedarkan diri selepas terkena tembakan semalam.
Mohd Nur Hadith dijangka akan menjalani sekali lagi pembedahan esok.
Isterinya, Siti Noraida Hassan, 38, berkata, suaminya masih ditidurkan di Hospital Cyberjaya dan belum stabil.
“Peluru itu terkena pada usus suami dan darah masih tidak berhenti. Saya dimaklumkan doktor menunggu darah berhenti dan suami dalam keadaan stabil baru pembedahan dijalankan sekali lagi esok.
“Buat masa ini suami masih dalam keadaan kritikal dan tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Nur Hadith cedera di perut selepas suami kepada majikannya melepaskan tembakan.


































