MACHANG: Sekumpulan pekerja sebuah kedai emas di sini berdepan detik cemas selepas premis berkenaan cuba dirompak dua lelaki menggunakan senjata api Khamis.
Bagaimanapun kesemua mangsa selamat dan premis berkenaan tidak berdepan kerugian.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Machang Superintendan Ahmad Shafiki Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 2.20 petang.
Menurutnya, semasa kejadian kedua-dua lelaki berpakaian hitam, seluar jeans, bertopi dan memakai pelitup muka serta sarung tangan.
“Pada masa sama, terdapat saksi yang cuba menangkap kedua-dua suspek namun gagal kerana mereka telah berjaya melarikan diri dengan menggunakan motosikal jenis Yamaha Y15 berwarna biru tanpa nombor pendaftaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.
Ahmad Shafiki memberitahu, rang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil bagi membantu pihak polis.


































