By: Rashid Ating
KUALA LUMPUR: BookFest @Malaysia 2024 pada tahun ini dianjurkan di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) oleh Popular.
Menurut satu kenyataan, acara ini telah dianjurkan sejak tahun 2006 lagi merupakan satu ekspo buku terbesar di negara ini, disamping telah mendapat pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Record kerana merupakan ekspo buku tiga bahasa terbesar di Malaysia.
Ekspo buku ini dianjurkan oleh Sin Chew Media Corporation Berhad bertujuan untuk memupuk budaya membaca dalam kalangan masyarakat di Malaysia tanpa mengira peringkat umur dengan tema pada tahun ini “Membaca Bersama”.
BookFest @Malaysia 2024 pada kali ini menampilkan lebih 500 gerai yang membawakan penerbit, pengedar buku dan alat tulis terkemuka dari seluruh rantau ASEAN dan Asia Pasifik, dengan 461 pempamer di Dewan 1; 36 pempamer di Dewan 2; empat pempamer di Dewan 3; 49 pempamer di Dewan 4 dan Dewan 5.
BookFest pada edisi ke-18 ini merangkumi kawasan seluas 100,000 kaki persegi, menawarkan pelbagai jenis bahan bacaan seperti bahasa Inggeris, Cina, dan Melayu. Turut dijual sama ialah alat-alat tulis, pelbagai jenis hadiah, buku teks dan buku penilaian, CD dan DVD, pelbagai gajet dan produk IT, serta barangan elektronik dan peralatan elektrik.
Ekspo ini akan berlangsung selama sembilan hari, bermula dari 6-14 April, bertempat di Dewan 1 sehingga 5 (Aras Bawah) KLCC.
Para pengunjung boleh menerokai pameran bermula dari Dewan 1 sehingga 5. Dewan 1 dan 2 akan menampilkan pelbagai jenis buku teks dan buku bacaan berbahasa cina, pelbagai CD, DVD dan koleksi manakala Dewan 4 dan 5 akan mempamerkan buku bacaan bahasa Inggeris, alat tulis, alat-alat dan IT. Pameran ini dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari. Yuran kemasukan ke ekspo ini adalah RM2.50 dengan setiap tiket untuk penggunaan sekali sahaja, manakala pas musim tersedia dengan harga RM10, membolehkan kemasukan tanpa had sepanjang promosi BookFest @ Malaysia 2024.
Selain daripada pameran buku yang menawarkan buku-buku terbaharu dari Malaysia, Singapura, Tanah Besar China, Hong Kong, Macau, Taiwan, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, Australia, Belgium, serta negara dan wilayah lain, BookFest @ Malaysia menampilkan pelbagai aktiviti yang menarik, termasuk sesi bertemu dan beramah mesra dengan pengarang-pengarang, tokoh-tokoh terkenal seperti Syamsul Debat dan Tan Sri Lim Kit Siang, diserikan lagi dengan pengisian-pengisian seperti; bengkel interaktif, pelbagai pertandingan dengan hadiah hebat seperti pertandingan mengeja dan banyak lagi.
Acara-acara ini akan berlangsung di Pentas Utama Dewan 1 dan Lounge Hospitaliti 1. Orang ramai dialu-alukan datang untuk datang memeriahkan lagi BookFest @ Malaysia 2024 di KLCC ini.




























