Yahya Hussin
KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) telah mengeluarkan surat tuntutan peguam terhadap individu yang menyebarkan fitnah bahawa pentadbiran MUIS menyalahguna wang daripada tabung zakat untuk pembayaran bonus kakitangan.
Surat tuntutan itu menggesa individu terlibat untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada MUIS dalam tempoh 24 jam. Jika gagal berbuat demikian, saman akan difailkan serta merta terhadap penyebar tuduhan tidak berasas itu bagi menuntut keadilan.
Menurut Utusan Malaysia, Yang Dipertua MUIS, Datuk Seri Yahya Hussin berkata, laporan polis mengenai dakwaan yang tular dalam laman media sosial itu juga telah dibuat pada 28 Mac lalu.
Tuduhan yang dilemparkan itu mengaitkan Ketua Pegawai Eksekutif MUIS, Ramlan Awang Ali dikatakan telah mengarahkan pemindahan wang daripada Tabung Zakat ke Tabung Am (Pengurusan) berjumlah RM14 juta tanpa proses kelulusan untuk pembayaran bonus kakitangan MUIS.
“Susulan itu, laporan polis dibuat bagi tujuan siasatan kerana tuduhan-tuduhan yang dilemparkan ke atas pihak MUIS tersebut adalah jelas tidak berasas. Ini juga merupakan satu fitnah terhadap MUIS,” katanya.
Berdasarkan rekod, kutipan zakat pada tahun lalu adalah sebanyak RM141.18 juta dan ia telah dibahagikan kepada golongan-golongan asnaf seramai 91,060 asnaf penerima yang meliputi 41.1 peratus bagi golongan fakir, fisabilillah (17.9 peratus), al-Riqab (17.6 peratus), golongan miskin (11.1 peratus), amil (sembilan peratus), mualaf (2.8 peratus), al-Gharimin (0.3 peratus) dan Ibnu Sabil (0.2 peratus).
Menurut Yahya, pihaknya sentiasa terbuka terhadap sebarang proses siasatan oleh pihak
berkuasa sama ada Polis Diraja Malaysia (PDRM) ataupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memastikan imej dan integriti MUIS dalam urusan pentadbirannya kekal bersih tanpa ada sebarang unsur salah guna kuasa seperti didakwa.
Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Exco Agama Negeri, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata, bahagian zakat sentiasa diaudit dan dipantau maka, masyarakat tidak perlu bimbang tentang dakwaan yang ditularkan kerana tidak timbul isu berlaku penyelewengan dalam pengurusan tabung zakat.
Jika dilihat rekod audit bahagian zakat dalam tempoh empat tahun ini juga cukup bersih dan beliau sendiri menyaksikan penerimaan laporan audit setiap tahun di Kuala Lumpur.
Katanya, dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, kutipan zakat meningkat RM10 juta setahun dan ia adalah hasil kempen dan kerja keras berterusan oleh bahagian zakat dan fitrah serta sumbangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).




























