KOTA BHARU: Polis Kelantan memberi jaminan siasatan kes seorang guru Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat yang didakwa melakukan pedofilia terhadap seorang murid lelaki akan selesai dalam tempoh sebulan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis negeri Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, ketika ini pihaknya sudah memanggil empat orang saksi bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
Menurutnya, bagaimanapun polis tidak boleh mendedahkan kesemua empat saksi yang telah dipanggil bagi memberikan keterangan berkait dengan kes berkenaan.
“Polis seboleh-bolehnya mahu selesaikan (siasatan) perkara ini secepat mungkin kerana ia melibatkan profesion yang cukup disegani iaitu guru.
“Lagipun ia bukan perkara (kes) baharu. Jadi, siasatan mendalam sedang dijalankan dan ia dijangka selesai dalam tempoh sebulan,” katanya kepada pemberita semasa sidang media di Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini kelmarin.
Muhamad Zaki memberitahu, pada masa sama pihak polis juga akan memanggil saksi-saksi lain seperti senior pelajar dan guru-guru sudah bertukar yang berkemungkinan mempunyai maklumat mengenai kes tersebut.
Utusan Online melaporkan Ahad, Polis Kelantan mengesahkan menerima laporan berhubung seorang guru MRSM Tumpat yang didakwa melakukan pedofilia terhadap seorang murid lelaki.
Muhamad Zaki berkata, siasatan juga mengambil kira pelbagai aspek termasuk kandungan WhatsApp dan individu lain yang pernah dihubungi mangsa atau guru terbabit.
Terdahulu, Majlis Amanah Rakyat (Mara) telah mengarahkan siasatan segera keatas seorang guru yang didakwa melakukan pedofilia di MRSM Tumpat.
Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pasukannya bakal melawat MRSM tumpat dalam masa terdekat untuk melakukan siasatan.
Media sebelum ini melaporkan, seorang guru tular di aplikasi X setelah didakwa mengganggu pelajar-pelajar di MRSM itu sehingga trauma.
Menurut wanita tersebut, guru terlibat masih dibenar mengajar meskipun perbuatan terkutuknya itu diketahui oleh guru dan pelajar lain.
































