Anthony Loke
SEPANG: Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak dimaklumkan berhubung cadangan sebuah syarikat berpangkalan di Brunei yang berhasrat untuk melaksanakan projek rangkaian kereta api berkelajuan tinggi pertama di Borneo.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, cadangan memulakan Projek Kereta Api Trans Borneo masih belum dibuka kepada mana-mana syarikat, sebaliknya tawaran untuk kajian kebolehlaksanaan hanya akan dibuka untuk tender pada Mei depan.
“Kita tidak tahu menahu apa yang dinyatakan oleh syarikat itu. Kalau mereka kata hendak bina landasan kereta api di Sabah dan Sarawak sudah tentu perlu mendapat kelulusan daripada kerajaan dan juga kerajaan negeri.
“Jadi setakat ini belum ada apa-apa kelulusan dan tidak pernah pun kita berunding dengan syarikat tersebut.
“Pada ketika ini apa yang kita akan laksanakan adalah satu kajian kebolehlaksanaan, kita panggil tender untuk konsultan jalankan kajian tersebut pada bulan Mei ini,” katanya menerusi sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Pengangkutan Terminal KLIA2 dan Kempen ‘Relax, Reunite & Be Rewarded’ di sini hari ini.
Anthony Loke berkata demikian ketika diminta mengulas laporan mengenai sebuah syarikat dari Brunei yang membuat pengumuman menerusi laman sesawangnya yang mendakwa pelaksanaan Projek Kereta Api Trans Borneo itu akan dibina dalam dua fasa melibatkan laluan sepanjang 1,620 kilometer.
Fasa pertama akan menghubungkan bandar-bandar dari barat ke pantai Timur bermula di Pontianak, Kalimantan Barat dan berakhir di Kota Kinabalu, Sabah manakala fasa dua pula melibatkan Kalimantan Utara dan Timur menghubungkan laluan utama dengan Samarinda dan ibu negara baharu Indonesia, Nusantara.
Dalam pada itu, Anthony Loke turut menasihati semua pihak supaya lebih berwaspada dengan sebarang pengumuman yang dibuat oleh mana-mana syarikat swasta berkaitan projek-projek besar.
“Projek mega seperti ini hanya sahih sekiranya diumumkan oleh pihak kerajaan.
“MOT masih (belum) memuktamadkan dokumen tender, tender pun belum dipanggil untuk kajian kebolehlaksanaan. Jadi kita menjangkakan kajian itu akan mengambil masa sembilan bulan, baru kita tahu sama ada boleh dilaksanakan atau tidak dari segi komersil, teknikal dan sebagainya,” katanya.
































