Fadhlina Sidek
NIBONG TEBAL : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyambut baik pandangan pelbagai pihak berhubung cadangan untuk mewujudkan perjawatan warden asrama bukan daripada kalangan guru sekolah.
Menurut Utusan Malaysia, Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, bagaimanapun, pihaknya akan meneliti ekosistem sekolah secara menyeluruh sebelum membuat sebarang keputusan berhubung cadangan tersebut.
Jelas beliau, dalam hal ini, beberapa pandangan yang dikemukakan oleh pihak yang berkenaan berhubung isu itu bagi mengurangkan beban tugas dihadapi guru di samping mengatasi kes buli di asrama sekolah telah didengarinya.
“Oleh itu, saya rasa kita perlu lihat adakah ekosistem sekolah secara keseluruhan itu sesuai atau tidak untuk melantik orang lain (selain guru) sebagai warden.
“Jika ada keperluan dan keutamaan (untuk melantik warden daripada kalangan bukan guru) pada ketika ini, maka, kita akan pertimbangkan dan kita berterima kasih kepada semua pandangan yang diberikan.
“Apapun, apa yang paling penting adalah tanggungjawab semua untuk membanteras buli. Jangan normalisasikan buli ini dan kita kena perkukuhkan semua ekosistem yang ada untuk memastikan gejala buli ini benar-benar dapat kita tangani di semua peringkat khususnya di sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pandangan beberapa pihak yang memohon KPM mempertimbangkan untuk mewujudkan perjawatan warden bukan daripada kalangan guru.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, pihaknya sentiasa memperkemas dan menambah baik garis panduan KPM di sekolah dari semasa ke semasa bagi mengatasi isu buli termasuk melibatkan buli siber.
“Saya juga minta untuk ibu bapa bersama-sama KPM dan guru bagi memberikan tumpuan terhadap anak-anak kita dan pada masa yang sama, kita juga sedang memperkasa guru-guru kaunseling untuk memberi sokongan terhadap ekosistem disiplin di sekolah.
“Dalam hal ini, ia tidak boleh berlangsung (direalisasikan) hanya dengan peranan KPM sahaja tetapi, semua pihak termasuk seluruh komuniti (perlu bekerjasama) bagi memastikan gejala ini benar-benar kita dapat perangi,” katanya.


































