PORT DICKSON: Dua lelaki ditangkap selepas disyaki mempunyai kaitan dalam kes samun serta menyamar sebagai anggota polis di kawasan PD Utama, di sini pada 22 Mac lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan dari mangsa iaitu seorang lelaki berusia 30 tahun kira-kira pukul 9 malam yang menyatakan telah disamun kira-kira pukul 4.30 petang.
Menurutnya, ketika bersama rakan sedang menunggu seorang lelaki bagi urusan pelaburan matawang, mangsa telah didatangi suspek iaitu dua orang lelaki dalam anggaran usia 30 hingga 40-an yang memperkenalkan diri sebagai polis dan mengarahkan mangsa mengikut suspek ke balai.
“Suspek telah membawa mangsa menaiki kenderaan milik mangsa ke Pasir Panjang dan dalam perjalanan, mangsa telah diikat dan mata telah ditutup dengan menggunakan pita pelekat.
“Akibat daripada kejadian tersebut mangsa mengalami kerugian sebanyak RM10,000 melibatkan telefon bimbit dan komputer riba. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Aidi Sham lalu, susulan laporan itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson telah membuat tangkapan terhadap suspek iaitu dua lelaki tempatan masing-masing di kawasan Telok Kemang dan Port Dickson pada pukul 12.05 tengah hari serta 1.45 tengah hari, 24 Mac lalu.
Menurut beliau, terdapat beberapa rampasan turut dilakukan di kawasan Lukut, Telok Kemang dan Port Dickson ke atas pakaian dan kenderaan yang digunakan dalam kejadian tersebut.
“Permohonan reman telah dibuat di hadapan Majistret Port Dickson pada 25 Mac lalu dan tahanan reman diluluskan selama enam hari di Lokap Balai Polis Port Dickson.
“Hasil semakan rekod lampau mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan ujian urin mendapati kedua-duanya negatif. Polis masih lagi mengesan seorang lagi individu tempatan yang terlibat dalam kejadian ini,” katanya.
Sehubungan itu, individu yang mempunyai maklumat berkaitan suspek boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhammad Ihsan Abd. Samad menerusi nombor 013-3675257 atau Hotline IPD Port Dickson iaitu 06-646 2999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan bagi membantu siasatan kes.
































