KUALA LUMPUR: Polis membongkar kegiatan sindiket penipuan dengan mengeksploitasi laporan polis dalam talian atau e-Reporting melalui panggilan video.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sebanyak 34 laporan diterima diterima berkaitan kegiatan itu dengan nilai kerugian RM1 juta, pada tahun lalu.
Katanya, setakat 14 Mac lalu, pihak polis turut menerima sebanyak 14 laporan polis dengan nilai kerugian RM960,500.
“Pada awalnya, mangsa akan menerima panggilan telefon dari individu yang menyamar sebagai pegawai daripada syarikat kurier.
“Pemanggil akan mewujudkan satu situasi yang menjadikan mangsa panik dan menurut semua arahan yang diberikan,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ, kelmarin.
Beliau berkata, seterusnya, panggilan tersebut akan disambungkan kepada ahli sindiket yang menyamar anggota polis secara panggilan video.
“Melalui panggilan video ini, mangsa akan diyakinkan untuk membuat laporan polis secara atas talian (e-Reporting) dan berinteraksi dengan pegawai polis palsu berlatarkan gambar seolah-olah keadaan di balai polis.
” Dengan adanya suasana seolah-olah berada di balai polis, mangsa akan berasa selamat dan seterusnya memberikan semua maklumat yang diminta sehinggalah mengakibatkan berlakunya kehilangan wang ringgit,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Ramli berkata, orang ramai diingatkan supaya berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan modus operandi penipuan sebegini.
“Pihak polis tidak akan menggunakan panggilan video untuk menerima laporan polis mahupun menjalankan siasatan.
“Sebarang proses siasatan hanya akan dilakukan secara bersemuka di mana-mana balai polis atau premis milik Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.
Ramli berkata, portal atau kemudahan e-Reporting telah dibangunkan oleh PDRM untuk memudahkan orang awam membuat laporan polis secara dalam talian.
“Kemudahan ini hanya terhad untuk membuat laporan polis berkaitan kehilangan dokumen atau barangan yang tidak berkait dengan jenayah,” katanya.

































