PETALING JAYA: Pelakon, Diana Danielle mendedahkan sebelum ini menolak tawaran membuat pembedahan bariatrik
Menurut Utusan Malaysia, pelakon berusia 33 tahun itu memaklumkan berat badannya masih terkawal justeru memutuskan untuk serta merta menolak tawaran berkenaan.
“Saya dihubungi seorang doktor yang menawarkan pembedahan itu secara percuma namun saya tolak. Bukan saya tak boleh kurus, saya yang tak mahu.
“Lagipun tiada keperluan untuk melakukan bariatrik kerana saya tidak mengalami obesiti dan berat badan saya masih terkawal.
“Saya hairan kenapa saya ditawarkan pembedahan itu sedangkan saya bukan calon yang sesuai,” katanya.
Diana membuat pendedahan itu selepas secara rasmi dilantik sebagai rakan kolaborasi jenama pelangsingan badan, Zenso semalam.
Turut hadir adalah suami pelakon itu, Farid Kamil serta dua anak mereka, Muhammad dan Nur Aurora.
Diana sebelum ini mencuri perhatian gara-gara peningkatan berat badan dialaminya sehingga menimbulkan spekulasi kononnya dia berbadan dua.
Pelakon yang juga penyanyi ini bagaimanapun tampil menafikan perkara itu dan memaklumkan kenaikan berat badan disebabkan peningkatan selera makan.
Farid yang mengulas perkara sama lega dengan keputusan Diana yang menolak tawaran tersebut.
Dia menyifatkan perkara itu sebagai tindakan melampau yang perlu dielakkan mereka yang tiada keperluan melakukan pembedahan berkenaan.
“Potong usus adalah tindakan melampau dan sebab itu saya tak benarkan Diana melakukannya.
“Kegemukan datang dari diri kita sendiri, jadi kalau hendak kurus juga kena usaha sendiri.
“Kesan negatif bariatrik pada saya lebih banyak berbanding positif,” jelasnya.


































