GEORGE TOWN : Bermula April, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan meningkatkan pengedaran beras putih tempatan kepada 2,500 metrik tan berbanding 1,800 metrik tan sebulan ketika ini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri berkata, kesemua beras putih tempatan itu akan dipasarkan kepada pengguna di outlet-outlet FAMA seperti di Agro Bazar, Pusat Jualan Agro Madani serta Pusat Operasi FAMA bagi memudahkan orang ramai untuk mendapatkan bekalan.
“Sebelum ini, FAMA membantu kerajaan dengan mengedarkan 1,800 metrik tan atau 180,000 kampit beras 10 kilogram (kg) setiap bulan, namun, pada mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) baru-baru ini, FAMA telah diminta untuk meningkatkan lagi pengedaran beras.
“Oleh itu, bermula bulan depan, FAMA akan mengedarkan sebanyak 2,500 metrik atau 250,000 kampit beras kepada orang ramai di outlet-outlet kami,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menghadiri program Agrofiesta Aidilfitri di 1st Avenue Mall, di sini yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol.
Menurut Abdul Rashid, dari segi harga pula, beras putih tempatan yang diedar oleh Fama masih kekal pada harga RM26 bagi setiap kampit beras 10 kg mengikut harga kawalan.
“Kita juga hadkan seorang bagi setiap satu kampit supaya pengguna lain juga dapat membeli beras tersebut,”katanya.
Sementara itu, katanya, FAMA juga akan meningkatkan import bekalan bawang dari China bagi menampung keperluan pengguna selepas India memutuskan untuk terus melarang eksport bawang ke negara lain.
“India merupakan negara pengeksport bawang yang besar ke negara ini dan kita dapat bekalan bawang dari India sehingga 60 peratus. Namun, kerajaan India telah melarang eksport bawang sehingga Mac, dan negara tersebut juga baru-baru ini meneruskan dasar larangan eksport bawang ke luar negara. Malah, hal yang sama turut dilakukan oleh Pakistan.
“Jadi, untuk mengatasi masalah ini, kita tambah bekalan eksport bawang dari China untuk menampung permintaan bekalan bawang di negara ini dan pada masa yang sama, memastikan harga jualannya masih terkawal,” katanya.
Sementara itu, kata Abdul Rashid, pihaknya juga sentiasa memastikan semua bekalan barangan asas seperti ayam dan daging mencukupi sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.
“Ketika ini, bekalan barangan asas adalah stabil dan harga yang ditawarkan juga adalah berpatutan,” katanya.


































