MELAKA: Seorang lelaki ditahan polis dalam serbuan di Kilometer 210, Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Ayer Keroh, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan bagi membantu siasatan kerana disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah di negeri ini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, pihaknya merampas 41.28 kilogram (kg) ganja dan 300 unit cecair ganja dipercayai untuk kegunaan vape, dianggarkan bernilai RM130,971 yang disimpan dalam bonet van.
Kata beliau, dalam serbuan kira-kira pukul 1.35 tengah hari 24 Mac lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka berjaya menahan suspek berusia 45 tahun itu.
“Bertindak atas maklumat yang diterima, suspek ditahan di kawasan RnR ketika sedang berehat. Suspek bersendirian dan tidak melarikan diri ketika ditahan.
“Suspek dipercayai berperanan sebagai pengedar dadah di sekitar Melaka. Semua dadah yang dirampas dipercayai untuk kegunaan seramai 206,405 penagih,” katanya kepada pemberita.
Tambah Zainol, sindiket berkenaan dikesan mula aktif sejak awal 2023.
Katanya, semakan mendapati, suspek yang bekerja sebagai penghantar barang mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 manakala ujian air kencing dilakukan adalah negatif.
“Suspek direman tujuh hari bermula 24 Mac hingga 30 Mac ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 kerana mengedar dadah,” ujarnya.
































