KENINGAU: Sebanyak 99.48 kilogram lebihan makanan dan minuman Bazar Ramadan pelbagai jenis berjaya dikumpulkan oleh sukarelawan Gerakan Pengguna Siswa Geomatika College Keningau (GCK) pada hari pertama program ini dijalankan.
Program Malaysia Save Food Ramadan 2024 atau dikenali sebagai MySaveFood Ramadan 2024 bertujuan untuk memupuk dan membudayakan sistem pengurusan lebihan makanan yang lebih berkesan dalam usaha mengurangkan pembaziran lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.
Program ini merupakan usaha sama pihak KPDN, Gerakan Pengguna Siswa dan Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia.
Lebihan makanan dan minuman yang berjaya dikumpul oleh sukarelawan ini telah diagihkan ke Pusat Tahfiz Anak-anak yatim Ar Rahmah Keningau dan pelajar-pelajar asrama GCK.

Lebih kurang 100 orang penerima mendapat manfaat program ini pada hari pertama.
Usaha seperti ini diharapkan dapat disebarluas ke daerah lain dalam mengurangkan lebihan makanan dan sisa khususnya di Sabah.
Dalam lawatan tinjauan pelaksanaan program tersebut juga Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup Negeri Sabah, Georgie Abas turut meninjau pelaksanaan kaedah e-wallet di kalangan peniaga Bazar Ramadan.
Hasil tinjauan mendapati 98 peratus peniaga telah mengadaptasi kaedah pembayaran tanpa tunai atau e-wallet.
Turut hadir pada sesi lawatan pelaksanaan program dan tinjauan Bazar Ramadan adalah Timbalan Presiden II GCK, Creastysia Cyrnus, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar GCK, Nur Asnie Jubilin, Ketua Cawangan KPDN Daerah Keningau, Awang Azri Biahi, dan Penasihat GPS GCK, Lazio Jiun serta pegawai-pegawai dari KPDN Sabah dan Geomatika College Keningau.
































