Antara kenderaan yang rosak dalam kemalangan melibatkan 12 buah kenderaan di Lebuhraya Pasir Gudang, Johor Bahru.
JOHOR BAHRU: Kemalangan melibatkan 12 buah kenderaan di Lebuhraya Pasir Gudang, petang semalam dipercayai berpunca daripada tindakan pemandu sebuah Mercedes-Benz yang menukar lorong secara tiba-tiba.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kenderaan mewah itu dipandu seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20-an.
Menurutnya, pemandu tersebut menukar lorong dari tengah ke kanan secara tiba-tiba sehingga menyebabkan pemandu treler tidak sempat mengelak kenderaan tersebut.
“Akibatnya, treler dipandu lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu terbabas memasuki lorong bertentangan sebelum merempuh 10 buah kenderaan yang sedang berhenti akibat kesesakan jalan di laluan tersebut.
“Kejadian itu menyebabkan seramai tiga pemandu kenderaan termasuk dua wanita dan seorang lelaki mengalami kecederaan ringan, termasuk pada bahagian muka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurutnya, kesemua mangsa yang terlibat berusia dalam lingkungan 20-an hingga 60-an telah dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini untuk menerima rawatan.
“Kemalangan itu dilaporkan berlaku di Kilometer 11.1, Lebuhraya Pasir Gudang menghala Perling kira-kira pukul 4 petang semalam,” katanya sambil memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau turut meminta saksi kejadian supaya tampil ke Balai Trafik Johor Bahru Selatan bagi membantu siasatan atau menghubungi pegawai penyiasat menerusi talian 014-6977122.































