Dr. Sabin bertemu mangsa di Pusat Pemimdahan Sementara.
KOTA KINABALU: Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah menziarahi mangsa-mangsa bencana kebakaran di Kampung Likas, di sini, yang kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Likas.
Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK, Robert Lipon serta wakil-wakil daripada Jabatan Kesejahteraan Masyarakat (JKsM) dan Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Bencana kebakaran yang berlaku sekitar jam 3 pagi tadi telah memusnahkan sebanyak lapan buah rumah dan membabitkan seramai 64 mangsa daripada 15 Ketua Isi Rumah (KIR).
Mangsa-mangsa terdiri daripada lelaki dewasa (27 orang), perempuan dewasa (12 orang), kanak-kanak lelaki (6 orang), kanak-kanak perempuan (15 orang), bayi lelaki (2 orang) dan bayi perempuan (2 orang).
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan setakat jam 12 tengah hari ini, kesemua mangsa telah dipindahkan ke PPS.
Dalam pada itu, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JPKA) telah menyediakan keperluan peribadi untuk kegunaan mangsa-mangsa di PPS, seperti tilam, bantal, selimut, syampu, sabun, baldi, berus gigi dan sebagainya.
Seterusnya, JPKA akan membekalan makanan berbungkus bagi mangsa yang tidak berpuasa. Pihak JKsM DBKK yang turut hadir ke PPS berkenaan telah memastikan dewan berada dalam keadaan bersih dan selamat untuk didiami.
































