Hajiji disambut oleh penduduk Mukim Tambalang.
TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor yakin Sabah mampu menjadi antara negeri teratas negara dalam tempoh lima tahun dari sekarang.
“Apa yang penting ialah perancangan untuk membantu dan meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama warga Mukim Tambalang di Masjid As-Sajdin, di sini, hari ini.
Hajiji yang juga ADUN Sulaman, juga mahu Tuaran menjadi model terbaik perpaduan dan dari segi menyokong penuh Kerajaan Negeri sekarang.
“Saya mahu Tuaran menjadi contoh terbaik dalam memberi sokongan padu kepada Kerajaan Negeri sekarang,” katanya.

Hajiji menyampaikan sumbangan kepada wakil 728 penerima di Mukim Tambalang.
Ketua Menteri mengulangi gesaan agar rakyat tidak terpedaya dengan berita palsu dan fitnah pembangkang yang memperlekehkan Kerajaan Negeri.
Pada bulan Ramadan, Hajiji berkata, jadualnya padat tetapi akan meluangkan masa untuk bertemu rakyat dan berbuka puasa bersama.
“Esok (Isnin) saya akan ke Pulau Pinang untuk berbuka puasa bersama 1,400 pelajar tajaan Yayasan Sabah,” katanya.
Hajiji juga menyeru orang ramai mengambil peluang untuk mengeratkan hubungan dan silaturahim sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini.
“Janganlah kita lupa tentang mereka yang kurang bernasib baik juga,” katanya.
Dalam majlis itu, Hajiji menyampaikan sumbangan kepada 728 penerima dari 21 kampung di Mukim Tambalang.
Turut hadir Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abd. Rahman dan Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Abdul Kassim Razali.
































