PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak warga Yaman berusia lima tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 21 dalam kejadian di sebuah kondominium di Bandar Putra Permai, Serdang dekat sini, Khamis.
Polis menerima laporan kira-kira 3.22 petang Jumaat berkaitan kejadian tersebut.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan berkata, semasa pengadu bertugas di Bilik Gerakan Ibu pejabat Polis Daerah Serdang, dia menerima panggilan Mers 999 memaklumkan ada mangsa terapung di dalam kolam di kondominium tersebut.
Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas badan kanak-kanak tersebut mendapati kaki sebelah kiri patah dan terdapat pendarahan melalui telinga dan hidung.
“Pengawal keselamatan kondominium memaklumkan, semasa membuat rondaan di sekitar kawasan kolam ternampak seorang kanak-kanak terbaring dalam kolam dengan keadaan tidak sedarkan diri.
“Justeru, pengawal keselamatan memberitahu pihak pengurusan dan bapa mangsa sebelum dia (mangsa) diangkat daripada dalam kolam dan diletakkan di atas bangku batu,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Menurut Anbalagan, berdasarkan keterangan dua saksi iaitu pengawal keselamatan di kondominium terbabit, dia ternampak sehelai baju dalam kolam renang ketika bekerja di Level F, blok tersebut.
Jelasnya, saksi telah menghampiri dan terlihat mangsa dalam keadaan terapung di dalam kolam renang sebelum memaklumkan kepada penyelia pengawal keselamatan.
“Semasa kejadian, ibu dan ayah mangsa berada dalam bilik tidur manakala mangsa berada di ruang tamu.
“Siasatan awal di tempat kejadian turut mendapati mangsa disyaki terjatuh melalui tingkat di ruang tamu rumah mangsa,” katanya.
Tambahnya, siasatan lanjut di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
























