Ellron menyerahkan sumbangan kepada salah seorang penerima.
KENINGAU: Sempadan daerah-daerah berdekatan seperti daerah Tongod, Nabawan, Keningau dan Tambunan dalam fasa perbincangan dan sedang diperhalusi, kata Datuk Ellron Angin.
Menteri Belia dan Sukan Sabah itu turut memaklumkan bahawa pihaknya dalam proses mendapatkan persetujuan daripada wakil-wakil rakyat yang mewakili daerah-daerah terbabit mengenai persempadanan itu.
“Saya difahamkan, kita hanya menunggu surat-surat mereka, pada dasarnya mereka sudah bersetuju dan menyokong daerah penuh Sook ini agar dapat dipercepatkan pewartaannya,” tambah beliau.
Persempadanan daerah ini penting untuk menentukan segala urusan, permohonan dan projek pembangunan yang bakal dilaksanakan tidak bertindih antara satu daerah dengan daerah yang lain.
Terdahulu, beliau hadir menyempurnakan Majlis Berbuka Puasa bersama-sama pemimpin masyarakat Daerah Kecil Sook, warga pendidik serta pelajar Pra-Universiti SMK Sook dan Majlis Jasamu Dikenang Encik Pancratius Primus di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Sook kelmarin.
Dalam majlis itu, seramai 15 penerima daripada kalangan pelajar yang kurang berkemampuan menerima bantuan keperluan asas bernilai RM150 setiap seorang.
Ellron berkata, majlis sedemikian harus terus diraikan tanpa mengira perbezaan anutan agama sesuai dengan kepelbagaian kaum dan keturunan dalam masyarakat Sabah.
Hadir sama ialag Pegawai Pendidikan Daerah Keningau, Johari@ Jaibet Sabin, Pengetua SMK Sook, Pancratius Primus, warga pendidik, Yang Dipertua PIBG, Amzan Jahidin, pemimpin-pemimpin tempatan dan pelajar-pelajar sekolah berkenaan.
























