Kepala ular tedung selar (dalam bulatan merah) yang terjuntai ketika Melur Hamzah membasuh baju di bilik air rumahnya di Kampung Batu Dua, Sungai Pau, Sik.
SIK: Seorang suri rumah di Kampung Batu Dua, Sungai Pau tidak menyangka bunyi seperti ketukan di bahagian atas dinding bilik air rumahnya merupakan seekor ular tedung selar yang sedang terjuntai.
Menurut Utusan Malaysia, Melur Hamzah, 56, berkata, pada mulanya dia ke bilik air untuk membasuh baju menggunakan mesin sebelum masuk semula tidak lama kemudian untuk menjemur pakaian itu.
“Kejadian berlalu sekitar pukul 9.30 malam, saya terdengar seperti ketukan zink di penjuru bilik air yang jaraknya tak sampai semeter dari tempat saya berdiri tetapi saya takut untuk melihatnya, lalu keluar memanggil anak.
“Anak segera masuk dan terus menjerit mengatakan seekor ular sedang terjuntai di atas dinding bilik air, kepala ular itu menjulur ke bawah kerana hendak menerkam seekor biawak yang berada di bawah mesin basuh,” katanya.
Melur berkata, suaminya, Basir Hassan, 55, dan anak mereka cuba untuk menangkap reptilia itu tetapi tidak meneruskan hasrat itu berikutan saiz dan bimbang ular terbabit agresif.
“Kami ambil keputusan untuk segera hubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) tetapi saya amat bernasib baik kerana ular itu tidak mematuk saya walaupun kedudukan dengan ular tersebut terlalu dekat ketika itu,” katanya.
Sementara itu, Pegawai APM Daerah Sik, Leftenan (PA) Haisul Aishah Mohd Napiah berkata, lima anggota bergegas ke tempat kejadian untuk menangkap ular terbabit yang panjangnya hampir empat meter dengan berat kira-kira tujuh kilogram.
“Pasukan APM mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk menjerut reptilia berkenaan berikutan haiwan itu agresif dan melarikan diri dengan bersembunyi di sebalik rekahan dinding bilik air.
“Tetapi dengan kecekapan anggota yang terlatih dan menggunakan peralatan khas, ular itu berjaya ditangkap dan diserahkan kepada pihak Perhilitan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Tambahnya, orang awam perlu peka dan sentiasa waspada dengan keadaan sekeliling berikutan cuaca panas mengundang reptilia seperti ular menumpang teduh di kawasan rumah terutamanya di bilik air.
































