Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA: Malaysia berjaya meraih potensi pelaburan asing bernilai RM76.1 bilion setakat Mac 2024, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Utusan Malaysia, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, potensi pelaburan itu diperoleh menerusi Misi Perdagangan dan Pelaburan di Australia yang menyumbang RM24.5 bilion serta Jerman dan Perancis sebanyak RM46 bilion.
Menurutnya, sebagai negara keenam terbesar dunia dari segi eksport semikonduktor, Malaysia meraih manfaat besar daripada persaingan antara Amerika Syarikat dan China dalam penghasilan cip.
“Kebanyakan syarikat luar melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang strategik untuk pelaburan mereka kerana ekosistem industri semikonduktor yang maju di sini dan mendapat dukungan penuh daripada kerajaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di sini kelmarin.
Katanya, beberapa fakta penting dilihat menyokong prestasi ekonomi yang lebih baik tahun ini termasuk kadar pengangguran turun ke paras 3.3 peratus pada Januari 2024 iaitu kembali ke paras prapandemik pada tahun 2022 iaitu 3.7 peratus.
Selain itu, katanya, kadar inflasi juga rendah dan turun kepada 1.6 peratus untuk suku keempat tahun 2023 berbanding 2.0 peratus pada suku ketiga tahun 2023.
Anwar berkata, prestasi eksport turut menunjukkan tanda pemulihan pada Januari 2024 dengan peningkatan 8.7 peratus selepas menguncup sepuluh bulan.
“Pemulihan eksport ini selaras dengan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bahawa perdagangan global dijangka meningkat 3.3 peratus tahun 2024 berbanding 0.4 peratus tahun 2023.
“Sebagai tanda awal pemulihan sektor pembuatan; Indeks Pengeluaran Perindustrian turut kembali meningkat sebanyak 4.3 peratus pada Januari 2024 berbanding pertumbuhan negatif sebanyak 0.03 peratus pada Disember 2023,” katanya.
































