PETALING JAYA: Polis mengesahkan lelaki Australia yang ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah kondominium di Jalan Bembang Ampang, dekat sini malam Isnin tiada unsur jenayah.
Dalam kejadian pukul 10.50 malam, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis (IPD) Wangsa Maju, telah menerima laporan mengenai bau busuk dari dalam sebuah unit kondominium di situ.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan anggota polis dan unit forensik dibantu Balai Bomba dan Penyelamat, Jalan Dato Keramat telah pergi ke tempat kejadian.
Menurut beliau, setiba di lokasi, lelaki bukan warganegara itu ditemukan terbaring di belakang pintu masuk kediaman dalam keadaan leher terjerut dan tergantung di tombol pintu.
“Mangsa yang berusia 48 tahun disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Siasatan awal mendapati mangsa disyaki telah meninggal dunia lebih daripada lima hari dan pemeriksaan mendapati tiada unsur jenayah ditemukan,” katanya dalam kenyataan di sini kelmarin.
Mengulas lanjut, kata beliau, mayat dibawa ke Unit Forensik HKL untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
































