SEREMBAN: Seorang lelaki cedera selepas dia menghalang kereta milik majikannya daripada dilarikan sekumpulan penjenayah dalam kejadian samun di sebuah taman perumahan di Nilai, awal pagi tadi.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, kaunter aduan Balai Polis Nilai telah menerima aduan daripada seorang lelaki berumur 40-an berhubung kejadian samun yang berlaku pada pukul 7 pagi tadi.
“Sebelum kejadian berlaku, pengadu ketika itu sedang melakukan kerja di sebuah taman perumahan di Nilai, namun tiba-tiba didatangi sebuah lori pikap jenis Mitsubishi Triton model lama berwarna hitam yang kemudian berhenti bersebelahan kereta milik majikan pengadu.
“Suspek disyaki dua orang lelaki terus masuk ke kereta milik majikan pengadu dan membawa lari kenderaan tersebut.
“Ketika suspek melarikan kendaraan tersebut, pengadu mengalami kecederaan di beberapa bahagian anggota badan selepas sempat mengejar kenderaan tersebut daripada dilarikan dan berpaut di bahagian bonet,” katanya hari ini.
Beliau menambah, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan milik suspek adalah palsu.
Abdul Malik berkata, kes akan disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan maklumat ke Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di nombor 06-7904389.


































