Hajiji memeriksa tahap kemasinan di sauk air LRA EWSS Limbahau hari ini, sambil diperhatikan oleh Shahelmey dan yang lain.
PAPAR: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor mengarahkan Jabatan Air dan Jetama Sdn. Bhd. membina muka sauk kedua bagi menyalurkan air ke Loji Rawatan Air (LRA) Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) di Kampung Limbahau di sini.
Muka sauk kedua dicadangkan di Kampung Kabang yang terletak lebih jauh di hulu Sungai Papar untuk mengelakkan pencerobohan air masin berulang yang telah memaksa LRA EWSS ditutup sepenuhnya.
“Cadangan muka sauk kedua di Kampung Kabang akan menjadi penyelesaian kepada isu kemasinan yang tinggi pada sauk air pertama di Kampung Limbahau,” katanya ketika ditemui selepas melawat LRA EWSS Limbahau hari ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali yang juga Ahli Parlimen Papar, telah mencadangkan muka sauk kedua paling berdaya maju untuk digunakan sebagai sauk air alternatif untuk mendapatkan bekalan air mentah apabila muka sauk sedia ada bermasalah.
Ketua Menteri diberi taklimat oleh Jurutera Air Daerah Papar, Afiq Abqari Nain bahawa paras kemasinan di muka sauk LRA EWSS Limbahau telah melebihi 4,000 miligram seliter (mg/L), iaitu jauh melebihi standard maksimum hanya 120 (mg/L).
Air masin telah mengalir sejauh 13km ke Sungai Papar, melepasi muka sauk LRA EWSS Limbahau, yang terletak kira-kira 8km dari muara Sungai Papar.

Hajiji dan Shahelmey melawat muka sauk alternatif Jetama di Kampung Kabang di mana muka sauk kedua untuk LRA EWSS Limbahau dicadangkan.
Hajiji juga diberitahu bahawa penutupan LRA EWSS Limbahau sejak 17 Feb bersama dua loji air lain di Papar iaitu Jetama dan Kogopon yang tidak beroperasi sepenuhnya, telah mengakibatkan penurunan pengeluaran kepada 35 juta liter sehari (MLD) berbanding kapasiti penuhnya sebanyak 63 MLD.
“Saya datang ke sini hari ini untuk melihat keadaan sebenar di Papar yang memerlukan tindakan bersepadu daripada semua agensi berkaitan. Berdasarkan taklimat daripada Pegawai Daerah, Jurutera Daerah dan Pengarah Air Negeri saya dapat lihat tindakan telah diambil untuk mengurangkan beban rakyat,” kata Hajiji.
“Adalah penting kita melakukan segala yang kita mampu untuk membantu rakyat,” tambahnya.
Ketua Menteri diberi taklimat bahawa penutupan EWSS dan kemarau yang berpanjangan telah mengakibatkan kekurangan air kritikal yang menjejaskan kira-kira 150,000 orang di daerah tersebut.
Dalam taklimatnya, Pegawai Daerah, Mohd. Fuad Abdullah berkata, Pejabat Daerah telah membekalkan air menggunakan lori tangki air terus kepada mereka yang terjejas dan empat tangki statik.
Air juga boleh didapati di ibu pejabat Jabatan Air Daerah.

Hajiji diberi taklimat oleh Suhaimi mengenai tinjauan keseluruhan bekalan air semasa musim kemarau di Sabah.
“Saya harap penghantaran bekalan air menggunakan lori tangki air akan diteruskan dan jika perlu, Kerajaan Negeri akan membayar bil tambahan air,” kata Hajiji.
Pada masa sama, beliau berkata, pembenihan awan sedang dipertimbangkan atas kawasan tadahan air bergantung kepada awan yang sesuai.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Air Negeri, Suhaimi Asbullah berkata, pengeluaran air di seluruh negeri menurun kepada 1,466.29 juta liter sehari (JLH) berbanding pengeluaran biasa 1,534 JLH berikutan penutupan LRA Limbahau EWSS dan LRA Sebatik.
Kemudian, Hajiji turut melawat muka sauk alternatif Jetama di Kampung Kabang di mana muka sauk kedua untuk LRA EWSS Limbahau turut dicadangkan.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya, Pembantu Menteri Kerja Raya – Datuk Limus Jury dan Datuk Robert Tawik, ADUN Kawang, Dato’ Sri Ghulamhaidar Khan Bahadar, Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Datuk Sofian Alfian Nair dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Datuk Jasmine Teo.


































