Fuziah Salleh (tiga kiri) mengedarkan hebahan MySaveFood kepada para peniaga di Bazar Ramadan Jalan Raja Alang, Kuala Lumpur, kelmarin.
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerima sebanyak 18 aduan berhubung harga makanan tinggi di seluruh negara.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, jumlah tersebut adalah minimum namun menjelaskan kerajaan tidak boleh mengawal harga sepenuhnya, sekali gus berharap masyarakat menggunakan ‘kuasa pembeli’ sebelum membeli sesuatu barangan.
“Sebenarnya orang tanya kenapa kita tidak kawal harga, kita dalam free market economy,kita tidak boleh kawal semua harga.. sebab kalau kita kawal, peniaga tidak mahu berniaga. Di situ ada supply and demand.
“Pembeli pun kena buat keputusan juga yang akhirnya masa membeli itu boleh dijadikan kuasa pembeli tapi kita tengok di sini tengok semua okay,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pelancaran Malaysia Save Food (MySaveFood) Ramadan 2024 dan tinjauan Bazar Ramadan Rahmah di Wilayah Persekutuan, di sini, kelmarin.
Sementara itu, mengenai MySaveFood, Fuziah berkata, sebanyak 75 bazar di 12 negeri termasuk di Wilayah Persekutuan dijangka terbabit dalam projek berkenaan.
Katanya, sehingga kini sebanyak 32 bazar Ramadan termasuk empat bazar Ramadan rahmah terlibat
Beliau berkata, melalui projek MySaveFood pada tahun lalu, sebanyak 25 tan metrik makanan dengan anggaran nilai RM 281,429.01 berjaya diselamatkan dan diserahkan kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).
“Makanan dan minuman yang tidak terjual oleh peniaga bazar Ramadan dikumpul oleh sukarelawan GPS dan Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia untuk diagihkan kepada pelajar IPT.
“Secara keseluruhannya seramai 2,700 sukarelawan termasuk dari GPS menjadi penggerak kepada projek ini di seluruh negara,” katanya.


































