Dexter (tengah) bersama Redonah dan kanak-kanak yang diraikan.
KOTA KINABALU: Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah bersama Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) membawa keriangan kepada 100 kanak kanak yatim dan kurang upaya (OKU) di Kunak dan Lahad Datu hari ini.
Dalam Program Amal Membeli-belah UPPM dan KTC itu, mereka dibawa ke Servay Supermarket di Kunak dan Lahad Datu untuk membeli pakaian dan kasut raya.
Bukan itu sahaja, kegembiraan ditambah dengan 40 bakul barangan makanan termasuk telur dan beras untuk keluarga yang kurang berkemampuan di kedua-dua daerah itu.

Dexter (tengah) bersama Redonah (tiga dari kiri) dan Awang Kadin (tiga dari kanan) dengan barangan makanan yang disumbangkan kepada yang memerlukan.
Turut serta dalam program itu ialah Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Datuk Redonah Bahanda, Pengarah UPPM Sabah, Datuk Awang Kadin Tang, dan Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau.
Pada sebelah petangnya, UPPM Sabah dan KTC mengadakan Program Amal Iftar di Lahad Datu yang dihadiri oleh 500 orang jemputan dan 50 orang daripada golongan yang memerlukan.

Sumbangan bantuan bakul makanan dan kewangan turut disampaikan oleh Sabah Softwood Berhad kepada mereka yang memerlukan untuk persediaan hari raya.
Dexter berkata, program amal mereka akan diteruskan ke lebih 20 destinasi yang seterusnya dan berharap ianya berjalan lancar seperti yang telah mereka lakukan di beberapa kawasan sebelum ini.

ADUN Kunak, Datuk Hajah Norazlinah Haji Arif, Pegawai Daerah Lahad Datu, Firuz Idzualdeen Mohd. Dzul, Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dr. Rohan Shah Ahmad, Penolong Pegawai Daerah Tungku, Albert Gunting, Timbalan Yang di-Pertua USIA, Datuk Haji Abdul Hakim Ghulam Khan, dan wakil jabatan-jabatan kerajaan.

KTC adalah syarikat tempatan Sabah yang berusia 87 tahun dan Dexter yang merupakan generasi ketiga akan berusaha lagi untuk mengembangkan ekonomi Sabah dengan memiliki bahagian pasaran yang terbesar di Sabah, Sarawak dan Brunei dalam bidang pengangkutan, pengedaran dan pengilangan demi membantu memberi peluang pekerjaan kepada penduduk Sabah khasnya.


































