Perlis berada pada tahap gelombang haba ekoran suhu panas maksimum harian mencecah 37 hingga 40 darjah Celcius sejak tiga hari berturut-turut dan turut memberi cabaran berpuasa sempena Ramadan.
KANGAR: Perlis kini berada pada tahap gelombang haba ekoran suhu panas maksimum harian mencecah 37 hingga 40 darjah Celcius bagi tiga hari berturut-turut.
Menurut Utusan Malaysia, laporan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menunjukkan, Perlis merupakan negeri yang berada pada tahap dua tersebut manakala 13 kawasan lain di Semenanjung berada pada tahap satu iaitu di peringkat berjaga-jaga.
Kesan daripada cuaca panas berterusan di negeri ini menyebabkan paras air di empangan Timah Tasoh menyusut atau turun ke paras 27.77 meter.
Kadar tersebut terus berkurangan saban hari berbanding paras air normal di empangan tersebut yang sepatutnya sekitar 29.1 meter.
Cuaca panas melampau itu turut memberi cabaran kepada umat Islam di negeri ini yang berpuasa sempena bulan Ramadan tahun ini.
Seorang peniaga, Rashid Ismail, 39, berkata, Ramadan tahun ini agak mencabar berikutan cuaca panas melampau yang berlarutan sejak hampir dua bulan lalu.
Katanya, bahang panas tersebut sudah mula dirasakan sejak pukul 10 pagi dan kemuncak panas antara pukul 3 hingga 5.30 petang, memaksa dia mandi beberapa kali sehari.
“Difahamkan Perlis kini sudah berada pada tahap berjaga-jaga dan gelombang haba apabila suhu sudah mencecah 40 celsius. Agak memberi cabaranlah berpuasa tahun ini namun ia tidak menjadi masalah kerana rakyat Perlis selalunya sudah biasa dengan cuaca panas.
“Di Perlis juga sudah lama tidak hujan dan kalau hujan sekali pun, hanya sekali lalu sahaja. Kita harap dalam masa terdekat ini, hujan akan turun sekurang-kurang satu atau dua jam bagi memberi kesegaran semula,” katanya.
Kakitangan swasta, Nur Lyana Abd. Karim, 32, pula berkata, selepas habis kerja dia terus pulang ke rumah dan jarang singgah di bazar Ramadan kerana cuaca agak panas.
“Pada masa ini, pukul 6 petang sekali pun, bahang panas itu masih terasa. Ia agak memberi cabaran berpuasa kali ini,” kata ibu kepada dua orang anak itu.
Sementara itu di KUALA TERENGGANU, cuaca panas dan kering yang kini melanda negeri itu dijangka berterusan dengan kemuncaknya pada Mei ini.
Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) Terengganu, Rosli Zakaria berkata, setakat ini, suhu tertinggi yang pernah direkodkan ialah 35.5 Celsius di Stesen Pencerapan Automatik iaitu Felda Tenang Besut pada 6 Mac lalu.
Menurutnya, suhu kedua tertinggi yang direkodkan ialah 34.6 Celcius di kawasan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di Bukit Besi, daerah Dungun pada hari yang sama.
“Rekod tersebut bukanlah yang paling tinggi dalam sejarah, namun ia lebih tinggi jika dibandingkan rekod purata suhu bulanan yang dicatatkan tahun ini.
“Mengikut Pertubuhan Met Sedunia, kesan fenomena El Nino ini boleh berterusan sehingga Mei dan ia akan menyebabkan cuaca panas dan kering berterusan di banyak kawasan termasuk di Terengganu,” katanya ketika.
Rosli menasihatkan orang ramai agar mengurangkan aktiviti di luar bangunan jika tiada keperluan mendesak dan meminta mereka mengamalkan panduan penjagaan kesihatan yang diberi oleh Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengelak risiko serangan strok haba.


































