JOHOR BAHRU: Seorang wanita ditahan kerana disyaki membunuh bayinya yang baharu berusia setahun enam bulan di sebuah kediaman di Pasir Gudang, dekat sini semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, pihaknya menerima panggilan tentang kejadian itu pada pukul 1.30 petang.
Menurutnya, suspek yang berusia 32 tahun telah menghantar gambar bayi yang berlumuran darah pada bahagian leher kepada suaminya menerusi aplikasi WhatsApp.
“Sehubungan itu, polis telah melakukan tangkapan terhadap wanita berkenaan. Polis turut menemukan sebilah pisau yang dipercayai digunakan untuk mengelar mangsa.
“Wanita berkenaan akan dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan permohonan reman untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Kumar berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


































