IPOH: Seorang doktor lelaki yang didakwa membuat gangguan seksual terhadap doktor pelatih di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) telah tampil membuat laporan polis.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pengadu berusia 43 tahun yang juga bertugas di hospital sama itu membuat laporan berkenaan kelmarin.
“Laporan polis itu dibuat berkaitan penularan surat layang di laman sosial yang telah memburukkan nama pengadu.
“Siasatan awal mendapati surat layang yang tersebar itu menuduh pengadu dan beberapa kakitangan lain melakukan perbuatan tersebut terhadap doktor pelatih yang bertugas di Jabatan Ortopedik HRPB.
“Sehubungan itu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya di sini kelmarin.
Menurut beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden Fadli Ahmad di talian 019-2500019.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan berunsur khabar angin dan fitnah yang boleh menjejaskan kredibiliti seseorang,” katanya.
Terdahulu, tular di laman sosial surat mengandungi dakwaan beberapa doktor pelatih wanita di Jabatan Ortopedik HRPB yang dikatakan sering diganggu secara seksual oleh seorang doktor lelaki.
Menurut surat berkenaan, doktor terbabit sering mengambil kesempatan dengan meraba, menyentuh bahagian tali baju dalam, mencubit badan dan paha selain bercakap lucah.
Selain itu, doktor itu juga didakwa mengugut mangsa untuk memanjangkan tempoh ‘tagging’ dan latihan walaupun tidak diberi kuasa untuk berbuat demikian.
Susulan penyebaran surat layang itu, Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) telah menubuhkan satu Jawatankuasa Penyiasatan Bebas bagi menyiasat dakwaan berkenaan.
Jawatankuasa disertai pegawai-pegawai yang dilantik oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) KKM itu ditubuhkan sehari selepas JKN menerima surat layang tersebut pada 28 Februari lalu.


































