Tangkap layar video insiden sebuah kereta menggelongsor lalu merempuh sebuah gerai bazar ramadan di pekan Kuala Klawang, Jelebu petang Rabu yang menyebabkan seorang peniaga mengalami kecederaan melecur di badan selepas terkena minyak panas.
JELEBU: Seorang peniaga bazar ramadan di pekan Kuala Klawang, di sini, mengalami kecederaan melecur di badan selepas terkena minyak panas ketika berniaga dalam kejadian petang Rabu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintenden Maslan Udin berkata, kejadian kira-kira pukul 5.45 petang itu membabitkan sebuah kereta jenis Proton Persona yang diletakkan berhadapan dengan sebuah tapak gerai bazar Ramadan itu telah menggelongsor dan melanggar sebuah gerai.
“Akibat daripada pelanggaran tersebut telah menyebabkan kuali yang dipenuhi minyak panas tertumpah lalu terkena seorang peniaga.
“Peniaga tersebut mengalami kecederaan melecur pada tahap 25 peratus di bahagian belakang badan, paha dan betis kaki sebelah kiri. Ketika kejadian terdapat dua kanak-kanak berada dalam kenderaan tersebut tanpa pengawasan ibu bapa.
“Kes disiasat di bawah Peraturan 14(1)(A) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan LN 166/59 (Kaedah 45) iaitu tidak mematikan enjin semasa meninggalkan kenderaan dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya kepada pemberita, di sini, kelmarin.
Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut untuk tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan atau boleh menghubungi terus Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Jelebu, Sarjan Azani Jusoh di nombor 016-9752980.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah (PPAD) Jelebu, LT. PA Mohd. Najib Abdul Karim berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat dan mangsa berusia 40 tahun telah dibawa ke hospital berdekatan bagi rawatan lanjut.


































