Azalina Othman Said
PETALING JAYA: Tuntutan dikemukakan United Tausug Citizens (UTC) membabitkan nilai RM70.2 bilion ke atas pemilikan Sabah perlu ditangani segera bagi memastikan tidak ada pihak cuba mengancam kedaulatan negara ini.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, tuntutan AS$15 bilion tersebut tidak berasas yang mahu pengiktirafan ke atas Sabah baru-baru ini.
“Tuntutan sedemikian bukan sahaja mengancam integriti negara berdaulat dan prinsip keadilan, malah memberi risiko kepada 16 peratus belanjawan negara.
“Ancaman UTC untuk menyaman Malaysia di Amerika Syarikat (AS) juga dilihat membimbangkan,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial X miliknya, semalam.
Terdahulu, Malaysia tidak akan melayan sebarang tuntutan remeh oleh kumpulan digelar sebagai UTC yang mendakwa sebagai ‘penjaga sah Wilayah Kesultanan Sulu’ ke atas Sabah.
UTC juga meminta Kerajaan Malaysia membuat pembayaran segera sebanyak AS$15 bilion yang didakwa mereka sebagai ‘Cession Money’ (Wang Penyerahan Wilayah).
Kumpulan itu juga mahu Malaysia mengiktiraf UTC sebagai ‘kerajaan yang berdaulat dan merdeka’, selain mengancam mengambil tindakan undang-undang terhadap Malaysia di AS.
Mengulas lanjut, Azalina yang kini berada di Paris, Perancis bagi menghadiri Mesyuarat Menteri Undang-Undang Komanwel turut menyentuh mengenai isu kes tuntutan Sulu dihadapi Malaysia.
“Saya membincangkan kes Sulu dan risiko pembiayaan litigasi pihak ketiga (TPLF) terhadap kedaulatan negara.
“TPLF sering mengutamakan keuntungan berbanding keadilan, mencabar tujuan teras sistem perundangan kita,” katanya.

































