Dr. Dzulkefly Ahmad
PETALING JAYA: Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad dirujuk ke jabatan kecemasan selepas disyaki mengalami gejala “renal colic”.
Menurut Utusan Malaysia, Kementerian Kesihatan dalam kenyataan memaklumkan, Ahli Parlimen Kuala Selangor itu kini dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan.
“Sama-sama kita doakan agar beliau diberikan kesihatan yang baik dan kembali pulih untuk bertugas,” kata kenyataan itu.
Renal colic atau kolik buah pinggang adalah istilah perubatan untuk kesakitan yang mungkin dialami akibat batu karang.
Batu karang diketahui umum boleh menyebabkan kesakitan yang teruk sehinggalah batu itu mula bergerak ke bahagian ureter.
Dr. Dzulkefly yang juga Naib Presiden Amanah, menerajui Kementerian Kesihatan buat kali kedua susulan rombakan Kabinet pada Disember lalu.
Beliau kali pertama berkhidmat sebagai Menteri Kesihatan bawah kerajaan Pakatan Harapan dari Mei 2018 hingga Februari 2020.

































