Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
KUALA LUMPUR: Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 mungkin tidak melibatkan pelajar sekolah.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementeriannya masih mempertimbang untuk menyesuaikan program latihan itu mengikut umur.
“Ia mungkin tidak melibatkan pelajar sekolah, mungkin selepas sekolah dan yang nak masuk universiti. Itu semua kita sedang pertimbang.
“Kita ambil maklum kebimbangan itu untuk menyesuaikan ikut umur. Kita belum muktamad,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.
Terdahulu, Mohamed Khaled berkata, PLKN 3.0 tidak mungkin diadakan pada tahun ini.
Katanya, pihaknya masih berunding komponen latihan kenegaraan bersama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi.
“Aspek latihan ketenteraan memang dibuat oleh Kementerian Pertahanan. Jadi, kita masih lagi sedang berunding tapi tidak mungkin dibuat tahun ini, mungkin tahun depan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan, kerajaan bersetuju meneruskan PLKN 3.0 dengan kaedah latihan berbeza yang menyaksikan pelatih menjalani latihan di kem tentera.
Dilaporkan, sebanyak 13 kem tentera Wataniah dengan kapasitinya menampung seramai 20,000 pelatih diguna untuk latihan selama 45 hari.
Susulan itu, satu jawatankuasa khas ditubuhkan kementerian untuk mengkaji bagaimana cara menghidupkan semula PLKN dengan acuan baharu.


































